Jumaat, 15 November 2019 | 4:21pm
Pesakit dan saudara mara berkumpul di lobi hospital susulan gempa bumi di Manado, Sumatera Utara hari ini. -Foto Reuters
Pesakit dan saudara mara berkumpul di lobi hospital susulan gempa bumi di Manado, Sumatera Utara hari ini. -Foto Reuters

2 cedera gempa di Maluku, penduduk beransur pulang ke rumah -BNPB

JAKARTA: Sekurang-kurangnya dua cedera dan beberapa gereja serta rumah rosak selepas gempa bumi melanda timur Indonesia, walaupun penduduk yang lari ke tempat tinggi akibat bimbang serangan tsunami sudah mula kembali ke rumah, kata agensi bencana hari ini.

Gempa di Maluku berlaku lewat semalam dengan magnitud 7.1 berpusat di laut sejauh 139 kilometer di barat laut Ternate, menurut Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Satu amaran tsunami ditarik balik selepas hampir dua jam walaupun berlaku lebih 90 gempa susulan sejak gempa awal menyerang.

Jurucakap agensi pencegahan bencana Indonesia (BNPB), Agus Wibowo berkata, dua orang mengalami cedera ringan di Ternate dalam wilayah Maluku Utara, memetik agensi tempatan. Enam rumah dan dua gereja rosak dalam kejadian itu.

“Agensi pencegahan bencana tempatan di Ternate juga berkata, penduduk yang menjauhi pantai mula kembali ke rumah pagi ini,” katanya dalam kenyataan, menambah keadaan tenang kembali ke bandar Bitung di pulau Sulawesi serta daerah Halmahera di Maluku.

Gempa magnitud 7.3 pada Julai lalu di Maluku mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang. -Reuters

Berita Harian X