Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:44am
KEADAAN kondominium yang terjejas selepas gempa bumi kuat berukuran 6.5 melanda bahagian tengah Mindanao, di selatan FIlipina. - Foto AFP
KEADAAN kondominium yang terjejas selepas gempa bumi kuat berukuran 6.5 melanda bahagian tengah Mindanao, di selatan FIlipina. - Foto AFP

Hotel runtuh gempa 6.5 landa tengah Mindanao

MANILA: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 melanda bahagian tengah Mindanao, di selatan FIlipina hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya satu bangunan hotel runtuh, kata sumber rasmi bencana alam.

Gempa itu, yang pada awalnya dilaporkan Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebagai berukuran 6.8 adalah insiden ketiga seumpamanya berlaku di kawasan berkenaan sejak 16 Oktober lalu.

Ia kemudiannya dicatatkan oleh Institut Seismologi dan Gunung Berapi Filipina (PHIVOLCS) sebagai berukuran 6.5.

Datuk Bandar Kidapawan, Joseph Evangelista memberitahu radio DZMM, sebuah hotel yang turut menempatkan rangkaian perniagaan lain runtuh akibat gempa, namun tiada sesiapa berada di dalam premis berkenaan ketika kejadian.

Tiada laporan berhubung kemalangan jiwa diterima setakat ini.

Pusat gegaran terletak 33 kilometer di timur laut pekan Tulunan, dalam wilayah Cotabato iaitu di bahagian barat Davao City.

“Ia amat kuat dan berlaku selama beberapa minit. Orang ramai mula panik dan melarikan diri ke kawasan terbuka,” kata Naib Datuk Bandar Tulunan, Maureen Ann Villamor kepada radio DZBB.

Jurucakap Presiden, Salvador Panelo dalam satu kenyataan kepada saluran berita ANC berkata, Presiden Rodrigo Duterte yang berada di kampungnya di Davao City, iaitu kira-kira 114 kilometer dari Kidapawan City ketika gempa, terselamat dari sebarang kecederaan.

Menurut PHIVOLCS, insiden hari ini boleh dianggap sebagai gegaran susulan, selepas gempa berukuran 6.6 yang menggegarkan Mindanao pada 29 Oktober lalu dan meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa serta mencederakan lebih 300 penduduk.

Tahap kekuatan bangunan dan kediaman di sekitar Mindanao juga semakin lemah ekoran gempa berukuran 6.3 yang berlaku pada 16 Oktober lalu. - Reuters

Berita Harian X