Selasa, 29 Oktober 2019 | 7:50pm
Murid dan guru berkumpul di kawasan lapang selepas gempa bumi yang melanda bandar Tulunan, Cotabato utara, Mindanaomengakibatkan bangunan sekolah runtuh. Foto AFP
Murid dan guru berkumpul di kawasan lapang selepas gempa bumi yang melanda bandar Tulunan, Cotabato utara, Mindanaomengakibatkan bangunan sekolah runtuh. Foto AFP

Tujuh maut gempa bumi di Mindanao

MANILA: Tujuh maut selepas gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda selatan Filipina, selain mengakibatkan banyak bangunan retak dan mencederakan puluhan penduduk.

Kejadian menyebabkan ribuan penduduk bergegas menyelamatkan diri, ketika orang ramai masih diselubungi ketakutan susulan insiden gempa bumi berukuran 6.4 magnitud kira-kira minggu lalu, yang mengakibatkan lima mangsa maut.

Ia turut menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal dan masih tinggal di pusat penempatan sementara.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan bapanya, berusia 44 tahun maut selepas dihempap batu besar di wilayah Cotabato utara,” kata pegawai bencana.

Seorang saksi memaklumkan AFP, seorang remaja lelaki maut selepas dihempap dinding bangunan sekolah yang runtuh di Magsaysay, ketika cuba menyelamatkan diri.

Kejadian itu turut menyebabkan ramai pelajar cedera, tetapi mereka berjaya keluar daripada runtuhan berkenaan.

“Tanah runtuh akibat gegaran susulan mengakibatkan empat lagi mangsa maut, manakala seorang lelaki mati kerana ditimpa dinding,” kata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 50 mangsa cedera akibat terkena serpihan runtuhan bangunan, termasuk tujuh murid sekolah dan beberapa guru, yang berjaya menyelamatkan diri selepas bangunan sekolah rendah mereka runtuh.

Penduduk tempatan turut mengambil langkah berjaga-jaga kerana menjangka gempa susulan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

“Bangunan bukan sahaja bergerak tetapi bergoyang dan saya berdoa supaya Tuhan melindungi kami,” kata Gadi Sorilla, doktor yang bertugas di hospital di Tulunan, bandar yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat gempa. - AFP/Reuters

Berita Harian X