Selasa, 29 Oktober 2019 | 1:50pm

Seorang maut gempa bumi di selatan Filipina

MANILA: Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud yang melanda selatan Filipina hari ini mengorbankan seorang pelajar lelaki yang lari menyelamatkan diri daripada kelas, menyebabkan bangunan retak dan mencederakan ramai mangsa di wilayah itu.

Penduduk tempatan yang ketakutan melarikan diri ke jalan raya selepas gegaran itu, yang berlaku di Mindanao apabila sekolah dan pejabat dibuka hari ini.

Gegaran berlanjutan sehingga seminit di beberapa kawasan, merosakkan rumah, bangunan banyak tingkat dan bilik darjah di wilayah yang menyaksikan ramai masih ketiadaan tempat tinggal susulan gempa bumi yang meragut lima nyawa awal bulan ini.

Filipina kerap dilanda gempa bumi kerana terletak dalam Lingkaran Api Pasifik.

Seorang remaja lelaki dihempap tembok yang runtuh ketika cuba menyelamatkan diri di sekolahnya di Magsaysay, kata jurucakap bandar raya.

Walaupun beberapa pelajar lain cedera dalam rempuhan untuk menyelamatkan diri, mereka disahkan selamat.

“Bangunan bukan hanya bergerak, ia bergoyang.

“Saya meminta bantuan Tuhan,” kata Dr Gadi Sorilla, di hospital di Tulunan, bandar terletak 25 kilometer dari pusat gegaran.

Katanya, hospital itu menerima 10 pesakit, sebahagiannya cedera di kepala.

Pihak berkuasa tempatan menerima laporan satu kehilangan penduduk, tetapi masih berusaha mengesahkannya. — AFP

Berita Harian X