Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:01pm

Gempa 6.6 landa selatan Filipina

MANILA: Satu gempa bumi berukuran 6.6 melanda selatan Filipina hari ini, menyebabkan kecederaan dan merosakkan bangunan di rantau yang masih dalam proses pemulihan daripada gempa terdahulu.

Penduduk tempatan yang ketakutan dilihat bertempiaran lari dan memenuhi jalan utama, dalam insiden di Mindanao itu ketika sekolah dan pejabat kerajaan mula beroperasi.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam laporan awal menyatakan bahawa gempa terbabit berukuran 6.8 dan tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Datuk Bandar Tulunan, Reuel Limbungan berkata, dewan orang ramai di pekan itu musnah dalam gempa berkenaan.

“Kami menerima banyak laporan kecederaan namun masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Kawasan itu masih mengalami kesan daripada gempa berukuran 6.4 yang melanda kurang daripada dua minggu lalu, meragut sekurang-kurangnya lima nyawa serta merosakkan puluhan bangunan.

Penduduk bergegas meninggalkan kediaman masing-masing di Mindanao, termasuk pusat beli belah yang terbakar di bandar General Santos, sejurus selepas gempa pada 16 Oktober lalu.

Filipina terletak dalam sebahagian daripada ‘Lingkaran Api Pasifik’ yang aktif dalam pergerakan seismik, bermula dari Jepun melalui ASEAN dan merentasi Pasifik. - AFP

Berita Harian X