Ahad, 29 September 2019 | 3:03pm

Indonesia awasi syarikat minyak kelapa sawit

SINGAPURA: Indonesia membaharui pengawasan ketat ke atas syarikat minyak kelapa sawit besar dan kilang kertas susulan kebakaran hutan dahsyat yang menyebabkan rantau Asia Tenggara dilanda jerebu.

Sementara aktivis menuduh ia melanggar janji untuk menggantung kerja pembalakan.

Kebakaran besar menyebabkan jerebu beberapa minggu di rantau berkenaan, memaksa penutupan sekolah dan lapangan terbang dan menyebabkan peningkatan dalam penyakit pernafasan.

Kebanyakan syarikat memulakan kebakaran untuk membersihkan ladang bagi tujuan pertanian, dan ia adalah yang paling buruk di negara itu sejak 2015.

Syarikat terkemuka, sejak beberapa tahun ini berjanji untuk membalak di hutan hujan, tidak memulakan kebakaran untuk membersihkan ladang dan memutuskan hubungan dengan pembekal kecil yang tidak mematuhi peraturan, tetapi pengkritik berkata sumpah itu sudah dimungkiri.

“Mereka tidak menunjukkan komitmen, dan tidak menangani hakikat bahawa kita berhadapan krisis suhu.

“Mereka masih menjalankan perniagaan seperti biasa,” kata aktivis hutan kanan di Greenpeace, Annisa Rahmawati.

Bagaimanapun, penggerak industri menegaskan mereka sudah berusaha menghentikan pembakaran dan penebangan pokok untuk mengurangkan operasi mereka.

Syarikat kelapa sawit terbesar dunia, Wilmar International, yang disenaraikan di Singapura, komited kepada dasar tidak menebang hutan 2013 dan berkata ia sudah berhenti menerima sumber daripada 17 pembekal yang tidak mematuhi peraturan mereka.

Pengeluaran minyak kelapa sawit yang digunakan dalam pelbagai barangan harian seperti syampu dan biskut, dipersalahkan oleh aktivis alam sekitar kerana menjadi punca penebangan hutan besar-besaran. — AFP

Berita Harian X