Sabtu, 14 September 2019 | 11:32am
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar

Kebakaran bermula di ladang milik anak syarikat Malaysia

JAKARTA: Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, semalam berkata beberapa kes kebakaran hutan di wilayahnya bermula di ladang digunakan subsidiari syarikat Malaysia.

Kedua-dua negara jiran itu saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai penyebaran jerebu di rantau berkenaan.

Malaysia berkata, asap daripada kebakaran di Sumatera dan kepulauan Borneo sejak bulan lalu sudah tersebar ke sempadan, memaksa ia menutup sekolah dan mengeluarkan amaran kesihatan.

Indonesia menafikan tuduhan itu, berkata kebakaran berlaku di negara lain, dan Siti Nurbaya memberitahu Reuters beberapa kes kebakaran di Indonesia dikesan di ladang kelapa sawit dimiliki sekurang-kurangnya empat subsidiari syarikat Malaysia.

Ladang itu ditutup selepas kebakaran dikesan, katanya.

Dua daripada syarikat induk Malaysia berkata, ladang anak syarikat mereka tidak ditutup disebabkan sebarang kebakaran dan amat berwaspada mengenai bencana itu.

Syarikat ketiga mengesahkan kebakaran di ladangnya, manakala yang keempat tidak memberi reaksi kepada permintaan supaya memberikan komen.

Asia Tenggara menderita jerebu setiap tahun disebabkan proses pembakaran untuk membersihkan ladang, meningkatkan kebimbangan mengenai kesihatan awam dan impak kepada pelancongan.

Siti Nurbaya mengenal pasti subsidiari itu sebagai Sime Indo Agro, unit Perladangan Sime Darby; Sukses Karya Sawit, unit Perbadanan IOI; Rafi Kamajaya Abadi, unit TDM Berhad; dan Adei Plantations and Industry beribu pejabat di Riau, unit Kumpulan Kuala Lumpur Kepong.

“Ini adalah firma luar sama sekali yang ladangnya sudah kami tutup,” katanya kepada Reuters. — Reuters

Berita Harian X