Rabu, 17 Julai 2019 | 2:36pm
KEADAAN bangunan yang rosak selepas dilanda gempa bumi di Labuha, Halmahera Selatan. - Foto Reuters
KEADAAN bangunan yang rosak selepas dilanda gempa bumi di Labuha, Halmahera Selatan. - Foto Reuters

Korban gempa bumi Indonesia meningkat kepada 5

JAKARTA: Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan gugusan kepulauan terpencil Indonesia minggu lalu meningkat kepada lima, dengan ribuan lagi tinggal di pusat perlindungan, kata pegawai hari ini.

Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda lokasi kira-kira 165 kilometer ke selatan bandar Ternate di Maluku Utara petang Ahad lalu, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

“Lima terbunuh selepas terkena puing,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia, Agus Wibowo, dalam kenyataan.

Hampir 1,000 rumah rosak di daerah jarang penduduk di Halmahera Selatan, yang terletak berhampiran pusat gegaran, dan lebih 3,000 berlindung dalam bangunan kerajaan dan sekolah kerana bimbang berlaku gegaran susulan.

Pihak berkuasa menempatkan daerah itu dalam status darurat dan mula mendirikan dapur awam, selain mengedarkan bantuan dan khemah.

Maluku Utara turut dilanda gempa bumi berukuran 6.9 magnitud awal bulan ini.

Indonesia kerap mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi disebabkan kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik. — AFP

Berita Harian X