Selasa, 16 Julai 2019 | 12:59pm
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Filipina pertimbang putus hubungan dengan Iceland

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Iceland selepas negara itu menerajui satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyiasat kempen perang dadah kendaliannya, kata jurucakap pemimpin itu.

Kenyataan itu dibuat jurucakap presiden, Salvador Panelo semalam sebagai membalas kenyataan Majlis Hak Asasi Manusia PBB minggu lalu yang menyokong resolusi dicadangkan Iceland untuk menyiasat pembunuhan berkenaan.

“Duterte secara serius mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Iceland,” kata Panelo dalam satu kenyataan.

“Resolusi Iceland yang diterima pakai adalah sangat berat sebelah, keterlaluan dan jahat,” katanya.

Duterte melancarkan perang antidadah pada 2016, dan sejak itu polis membunuh lebih daripada 5,300 suspek dadah. Namun, kumpulan hak asasi manusia percaya, angka sebenar mencecah empat kali ganda.

Siasatan PBB itu dibuat sebagai tambahan kepada kajian awal yang dilancarkan pasukan pendakwa dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Filipina keluar dari mahkamah berkenaan awal tahun ini. - AFP

Berita Harian X