Sabtu, 13 Julai 2019 | 2:22pm

25 cedera, gempa bumi 5.8 magnitud gegar Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya 25 orang cedera manakala beberapa bangunan kediaman, premis perniagaan dan gereja rosak selepas gempa bumi berkekuatan 5.8 magnitud melanda pantai timur laut pulau Mindanao awal pagi ini, kata polis.

Gempa bumi yang berlaku pada kira-kira jam 4.42 pagi (waktu tempatan) itu dikesan pada kedalaman 11.8 kilometer diikuti tujuh gegaran susulan kecil, kata pejabat seismologi Filipina.

Ketua polis bandar Madrid, Leftenan Wilson Uanite berkata, pegawai di balai polis di bandar yang berhampiran pusat gempa itu terpaksa berlindung di bawah meja kerana mengelak daripada terkena serpihan pintu kaca, almari kabinet dan televisyen yang jatuh ke lantai.

“Kami lihat penduduk berlari keluar dari rumah mereka. Beberapa kediaman juga mengalami kerosakan seperti keretakan dinding,” kata Uanite kepada AFP.

April lalu, 11 orang terbunuh selepas gempa bumi berkekuatan 6.3 magnitud menggegarkan utara ibu kota Manila sehingga mengakibatkan sebuah pusat beli-belah runtuh. - AFP

Berita Harian X