Jumaat, 28 Jun 2019 | 3:06pm
DUTERTE Rodrigo. - Foto AFP
DUTERTE Rodrigo. - Foto AFP

Duterte ancam penjarakan pembangkang

MANILA: Presiden Duterte Rodrigo mengancam memenjarakan pembangkang jika mereka cuba mencabarnya.

Tindakan terbaru Duterte itu disifatkan pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan ahli perundangan Asia minggu ini sebagai corak penganiayaan dan serangan terhadap kebebasan bersuara.

Duterte meluahkan kemarahan lewat semalam, di tengah perhatian media dan tuduhan beliau menyebelahi China berhubung tindakan Beijing menenggelamkan kapal nelayan Filipina 9 Jun lalu, yang berlaku dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara berkenaan.

Pemimpin itu menyokong kenyataan Beijing kejadian berkenaan adalah satu kemalangan, bukan rempuhan disengajakan, dan mempedulikan kehadiran nelayan China di dalam EEZ Filipina, berkata beliau membenarkan perkara itu atas dasar persahabatan.

Beberapa pengkritik berprofil tinggi, dalam kalangan mereka adalah hakim dan bekas Menteri Luar, menegaskan ia melanggar Perlembagaan atau membolehkan beliau dicabar.

“Saya? Akan dicabar? Saya akan penjarakan mereka semua. Cuba lakukan itu dan saya akan lakukannya.

“Saya cabar kamu melakukannya. Anda mahu mencabar saya melakukannya. Baiklah. Lakukan. Ya. Failkan ia,” katanya.

Laporan oleh Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Kemanusiaan Selasa lalu mengutuk pentadbiran Duterte kerana apa yang disifatkan sebagai ancaman dan retorik agresif serta mengugut dakwaan jenayah terhadap pembangkang yang menyamai usaha sengaja memecah belahkan pengkritik dan melemahkan usaha semak dan seimbang.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Kemanusiaan PBB, Michelle Bachelet, Isnin lalu berkata, ia adalah ‘risiko keganasan sebenar’ bagi rakyat Filipina yang bersuara, menyatakan ancaman dibuat secara terbuka oleh pegawai kerajaan.

Ditanya hari ini mengenai ancaman memenjarakan pembangkang, jurucakap Duterte, Salvador Panelo, berkata presiden itu kecewa kerana rakyat tidak melihat beliau mengutamakan kepentingan negara.

“Beliau tidak faham mengapa rakyat menentang dasarnya,” kata Panelo. - Reuters

Berita Harian X