Rabu, 22 Mei 2019 | 9:05pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte.
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte.

Duterte bengang, Kanada lambat kutip sampah

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan kerajaannya mengupah sebuah syarikat perkapalan swasta untuk menghantar 69 kontena sampah kembali ke Kanada dan meninggalkannya di perairan negara itu jika mereka enggan menerima bahan buangan berkenaan, kata jurucakapnya hari ini.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Filipina tidak seharusnya dilayan seperti sampah oleh negara lain,” kata jurucakap presiden, Salvador Panelo dalam satu sidang media.

Kanada berkata bahan buangan, yang dieksport ke Filipina di antara 2013 dan 2014 adalah urus niaga komersil yang tidak disokong oleh kerajaan Kanada.

Kanada sejak itu menawarkan untuk mengambil semula bahan buangan berkenaan dan kedua-dua negara sedang dalam proses mengatur pemindahan itu.

Bagaimanapun Kanada terlepas tarikh akhir 15 Mei yang ditetapkan oleh Manila untuk mengambil semula penghantaran itu, menyebabkan Filipina mengundurkan diplomat kanannya dari Kanada minggu lalu.

“Sudah tentu Kanada tidak memandang isu ini mahupun negara kita dengan serius. Rakyat Filipina merasa sangat terhina kerana Kanada menganggap negara ini sebagai tapak pembuangan sampah,” kata Panelo.

Kedutaan Kanada di Manila gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

Filipina pernah melancarkan beberapa protes diplomatik terhadap Kanada sejak mahkamah memutuskan bahan buangan itu perlu dikembalikan pada 2016.

Konsesi itu dilabel mengandungi plastik untuk dikitar semula di Filipina tetapi diisi dengan pelbagai sampah sarap termasuk lampin pakai buang, surat khabar dan botol air.

Isu ini bukan satu-satunya faktor yang menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Tahun lalu, Duterte mengarahkan tentera membatalkan perjanjian AS$233 juta (RM976 juta) untuk membeli 16 helikopter dari Kanada, selepas Ottawa menyatakan kebimbangan ia mungkin digunakan untuk memerangi pemberontak. - Reuters

Berita Harian X