Isnin, 4 Februari 2019 | 6:41pm
ABDUL Rahim Noor
ABDUL Rahim Noor

Malaysia bersedia untuk dialog baharu Mara Patani - Kerajaan Thailand

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia sekiranya ada permintaan untuk mengadakan dialog baharu antara Majlis Syura Patani (Mara Patani) dengan kerajaan Thailand dalam usaha mencari keamanan di selatan Thailand.

Fasilitator Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, berkata Kuala Lumpur kini dalam fasa ‘tunggu dan lihat’ perkembangan terbaru susulan keputusan panel dialog Mara Patani untuk menggantung semua dialog dengan kerajaan Thailand.

“Ini isu dalaman, apabila ada pihak ingin bertanyakan sesuatu atau mahukan perkembangan daripada pihak lain, kita akan sampaikan. Jika tiada, kita akan duduk diam saja, tunggu dan lihat jika ada perkembangan.

“Mesti ada permintaan daripada salah satu pihak untuk berunding. Kita tidak boleh mengaturkan apa-apa, hanya dilakukan bila ada permintaan. Kita cuma ‘facilitate’,” katanya kepada Bernama hari ini ketika diminta mengulas mengenai keputusan panel dialog Mara Patani itu.

Mara Patani adalah badan yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand.

Ketua panel dialog, Shukri Hari, dilaporkan berkata keputusan menggantung rundingan sehingga selepas selesai pilihan raya umum Thailand pada Mac berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap yang ditunjukkan ketua panel rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

Menurut Shukri, Mara Patani dan pasukan dialog Thailand tiba di Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu untuk mesyuarat pengenalan, bagaimanapun mereka dimaklumkan bahawa Udomchai tidak akan menghadiri mesyuarat itu.

Shukri berkata kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand menggantikan Udomchai dengan seseorang yang ‘lebih berwibawa’ dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Patani yang sudah berlarutan.

Mesyuarat pengenalan yang sepatutnya berlangsung semalam, lalu diatur oleh Abdul Rahim yang dilantik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejak meletus pada 2004, konflik yang mencengkam empat wilayah di selatan Thailand iaitu Patani, Yala, Narathiwat dan Songkla, meragut lebih 6,500 nyawa. - BERNAMA

Berita Harian X