Khamis, 29 November 2018 | 3:37pm

3 polis Filipina dipenjara 20 tahun

MANILA: Tiga anggota polis Filipina dipenjara 20 tahun kerana didapati bersalah membunuh seorang remaja ketika operasi anti-narkotik, pertuduhan pertama membabitkan pasukan polis yang melaksanakan dasar perang dadah, Presiden Rodrigo Duterte.

Duterte berikrar untuk mengampunkan pegawai yang menjalankan tugas ketika operasi anti-dadah, tetapi malangnya beliau juga tidak mahu membela mereka yang bertanggungjawab membunuh Kian delos Santos pada 2017 di sebuah lorong di Manila, hingga menyebabkan bantahan terhadap kempen anti-dadah itu.

Menurut polis, remaja berusia 17 tahun itu adalah pengedar dadah yang melepaskan tembakan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

Bagaimanapun, rakaman video menunjukkan beberapa anggota polis mengheret remaja itu tanpa bersenjata sebelum dia ditembak mati.

Keputusan mahkamah itu disambut dengan deraian air mata oleh keluarga Delos Santos yang berada di mahkamah Manila selepas hakim menjatuhkan hukuman itu.

Pengkritik perang dadah, memuji keputusan itu sebagai contoh keadilan dan akauntabiliti, yang jarang berlaku sejak Duterte melancarkan kempen untuk menghapuskan dadah di Filipina pada 2016.

Sejak itu polis mengakui mereka sudah membunuh hampir 5,000 penagih dan pengedar dadah yang berjuang untuk menahan mereka, manakala kumpulan hak asasi manusia berkata, jumlah sebenar adalah tiga kali ganda dan ia dianggap jenayah terhadap kemanusiaan.

“Ini adalah cahaya dalam kegelapan, walaupun pembunuhan semakin meningkat dan tidak terkecuali di negara ini, keputusan mahkamah ternyata menghantar mesej bahawa masih ada harapan dan keadilan,” kata Senator Risa Hontiveros. - AFP

Berita Harian X