X
Khamis, 15 November 2018 | 7:49am
Duterte mendengar ucapan Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-21 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura, semalam. -Foto EPA
Duterte mendengar ucapan Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-21 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura, semalam. -Foto EPA

Duterte langkau mesyuarat ASEAN, namun sahkan dirinya sihat

SINGAPURA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melangkau beberapa mesyuarat dalam sidang kemuncak Asia-Pasifik di republik ini semalam, menyebabkan pejabat pemimpin berusia 73 tahun itu mengeluarkan kenyataan menepis spekulasi ia berpunca daripada keadaan kesihatannya.

“Kami memberi jaminan kepada negara, ketidakhadiran beliau tiada kena mengena dengan keadaan kesihatan fizikalnya yang menjadi subjek spekulasi.

“Jadual kerja presiden menunjukkan bukti beliau berada dalam keadaan fizikal terbaik,” kata jurucakapnya Salvador Panelo.

Panelo menyebut empat acara dijadualkan yang tidak dihadiri Duterte semalam, oleh kerana masa itu diambil beliau untuk ‘tidur sebentar’ dan berkata pemimpin itu juga tidak hadir majlis makan malam gala bersama pemimpin sembilan negara Asia Tenggara, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence dan yang lain.

Keadaan kesihatan Duterte menjadi sumber spekulasi oleh kerana beliau tidak muncul di khalayak ramai selama seminggu tahun lalu dan berkata secara terbuka, dirinya kepenatan dan berhasrat meletak jawatan sebelum penggal pentadbirannya berakhir pada 2022.

Bulan lalu, pejabat Duterte mendedahkan, beliau menjalani prosedur kolonoskopi dan memaklumkan media, ujian biopsi menunjukkan dirinya tidak menghidap kanser. -Reuters

Berita Harian X