Jumaat, 9 November 2018 | 1:24pm
Gambar fail menunjukkan Imelda melawat kubur mendiang suaminya Perkuburan Wira sempena All Saints Day di bandar Taguig selatan Manila, 1 November lalu. -Foto EPA
Gambar fail menunjukkan Imelda melawat kubur mendiang suaminya Perkuburan Wira sempena All Saints Day di bandar Taguig selatan Manila, 1 November lalu. -Foto EPA

Mahkamah rasuah Filipina arah tangkap Imelda Marcos

MANILA: Mahkamah anti-rasuah Filipina hari ini mengarahkan penahanan bekas wanita pertama Imelda Marcos selepas mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan rasuah ketika pemerintahan dua dekad suaminya yang juga bekas diktator, Ferdinand Marcos.

Imelda, 89, terkenal kerana memiliki sejumlah besar koleksi kasut, barang kemas dan lukisan, berdepan puluhan kes panjang dihadapinya sejak keluarganya digulingkan dalam satu kebangkitan popular disokong tentera pada 1986.

Imelda terkenal boros ketika zaman pemerintahan mendiang suaminya, Ferdinand Marcos. -Foto EPA
Imelda terkenal boros ketika zaman pemerintahan mendiang suaminya, Ferdinand Marcos. -Foto EPA

Mahkamah mengarahkan Imelda, juga anggota kongres menjalani hukuman penjara antara enam dan 11 tahun bagi setiap tujuh kesalahan rasuah.

Dia didakwa kerana mengarahkan pemindahan tujuh bank berjumlah AS$200 juta (RM835.81 juta) kepada yayasan Switzerland ketika penggalnya sebagai gabenor ibu kota ini.

Imelda dan wakilnya tidak menghadiri perbicaraan undang-undang hari ini. Dia gagal dihubungi untuk mengulas dan mesej teks serta panggilan telefon kepada peguamnya tidak berjawab.

Waran tangkap itu mungkin tidak dapat dilaksanakan segera kerana Imelda boleh merayu keputusan oleh mahkamah Sandiganbayan, kata seorang pendakwa raya.

“Dia boleh mengemukakannya kepada Mahkamah Agung jika merasakan wujud pelanggaran berkaitan keputusan Sandiganbayan. Justeru perkara ini bukan muktamad dan boleh dilaksanakan,” kata penolong pendakwa raya khas Ryan Quilala kepada media.

Imelda yang berkhidmat tiga penggal sebagai anggota kongres, mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya menggantikan anak perempuannya, Imee Marcos, 62, seorang gabenor di Ilocos Norte, kubu kuat keluarga Marcos yang masih berkuasa. -Reuters

Berita Harian X