Jumaat, 5 Oktober 2018 | 3:25pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Vietnam rampas 8 tan sisik tenggiling, gading gajah

HANOI : Vietnam merampas lapan tan sisik tenggiling dan gading gajah dari Nigeria, kata polis hari ini, kes kedua seumpamanya minggu ini di negara yang terbabit dalam penggunaan serta penyeludupan hidupan liar terancam dari Afrika pada skala besar.

Perdagangan gading gajah dan sisik tenggiling diharamkan di Vietnam namun penjualannya terus berleluasa di pasaran gelap susulan permintaan tempatan dan dari negara jiran China yang membabitkan industri bernilai AS$20 bilion (RM82 bilion).

Menurut akhbar dalam internet Hai Quan, muatan kapal 8 tan itu ditemui semalam di pelabuhan bandar Danang, menjadikan ia rampasan terbesar setakat ini sejak beberapa tahun lalu.

“Muatan berkenaan datang dari Nigeria,” kata akhbar itu sambil menambah, pegawai mengambil masa beberapa jam untuk mengira jumlah keseluruhan gading dan sisik berkenaan yang disenaraikan sebagai ‘besi buruk’ dalam bil kontena perkapalan itu.

Pihak kastam bagaimanapun enggan memberi komen ketika dihubungi.

Jumaat lalu, pihak berkuasa di Hanoi menemui hampir 1,000 kilogram sisik tenggiling dan gading gajah dalam satu penerbangan komersil yang tiba dari Nigeria.

Maklumat dari negara dikuasai parti komunis itu dikawal rapi oleh kerajaan yang kini masih berusaha keras memerangi pemerdagangan haram gading gajah dan tenggiling.

Tabiat haiwan pemalu seperti tenggiling yang akan membulatkan badan seperti bola apabila diancam menjadikan hidupan liar itu mudah menjadi mangsa pemburu haram dan muncul sebagai haiwan liar paling banyak diperdagangkan di pasaran gelap. - AFP

Berita Harian X