Selasa, 2 Oktober 2018 | 10:00am
GAMBAR fail, Pesawat Boeing 737-800 milik Air Niugini cuba untuk mendarat di lapangan terbang Weno di Micronesia pagi Jumaat lalu, namun terhempas tidak jauh dari landasan sebelum terjunam ke dalam lagun Chuuk. - Foto abc.net.au
GAMBAR fail, Pesawat Boeing 737-800 milik Air Niugini cuba untuk mendarat di lapangan terbang Weno di Micronesia pagi Jumaat lalu, namun terhempas tidak jauh dari landasan sebelum terjunam ke dalam lagun Chuuk. - Foto abc.net.au

Mayat penumpang ditemui beberapa hari selepas pesawat terjunam

WELLINGTON: Mayat seorang penumpang lelaki ditemui dalam sebuah pesawat yang terjunam dan tenggelam dalam sebuah lagun minggu lalu selepas terlepas untuk mendarat di kepulauan terpencil Pasifik, kata pihak berkuasa.

Pesawat Boeing 737-800 milik Air Niugini cuba untuk mendarat di lapangan terbang Weno di Micronesia pagi Jumaat lalu, namun terhempas tidak jauh dari landasan sebelum terjunam ke dalam lagun Chuuk.

Syarikat penerbangan pada mulanya berkata kesemua 35 penumpang dan 12 kru dipindahkan dengan selamat. Namun penyelam yang memeriksa bangkai pesawat itu membuat penemuan mengejutkan.

“Dengan rasa dukacita saya mengesahkan mayat penumpang lelaki ditemui penyelam hari ini ketika mereka menjalankan pencarian lanjut pesawat P2-PXE dan kawasan sekitar di lagun Chuuk,” kata Ketua Eksekutif Air Niugini, Tahawar Durrani dalam satu kenyataan lewat semalam.

Kerajaan Micronesia berkata, penyelam tentera laut Amerika Syarikat (AS) menemui mayat terbabit dari dalam pesawat. Butiran lanjut mengenai mangsa tidak diperoleh.

Kerajaan berkata, sembilan penumpang cedera dalam nahas itu, empat daripadanya kritikal.

Katanya, pasukan penyiasat dari Kerajaan Persekutuan Micronesia bekerjasama dengan pihak berkuasa Papua New Guinea dan AS untuk mengenal pasti punca nahas.

“Rancangan mencari kotak hitam pesawat sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan. Sementara itu, Air Niugini berkata Jumaat lalu, ia dimaklumkan ‘cuaca buruk dengan hujan lebat dan jarak penglihatan kurang ketika nahas berlaku.’ -AFP

Berita Harian X