Isnin, 1 Oktober 2018 | 4:29pm
PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto Reuters
PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

Polis akui ada pihak mahu guling Duterte

MANILA: Polis Filipina tidak menganggap khabar angin mengenai cubaan menggulingkan Presiden Rodrigo Duterte sebagai satu ancaman ketika ini meskipun turut mengakui ia berasas.

"Kami tidak nampak ia satu ancaman ketika ini tetapi ia memang menimbulkan kebimbangan. Pihak tertentu mungkin melihatnya begitu tetapi pihak kami belum lagi menganggapnya satu ancaman.

"Saya tidak tahu apa pandangan agensi keselamatan lain," kata Ketua Polis Filipina, Oscar Albayalde dalam taklimat kepada media hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata komplot menggulingkan pemimpin yang diberi nama 'Red October' adalah berasas kerana perkara itu turut disentuh oleh Duterte.

Pada 11 September lalu, ketika perbualan langsung di televisyen dengan peguamnya, Salvador Panelo, Duterte mendakwa, ada sebuah kerajaan asing merakam perbualan sulit antara gerila komunis, kumpulan Magdalo yang pro tentera dan Parti Liberal menunjukkan ada pakatan antara mereka untuk menjatuhkannya.

Sejak itu, pihak tentera mendakwa ada komplot 'Red October' yang dipimpin gerila komunis untuk menjatuhkan kerajaan, lapor portal berita Filipina.

'Red October' biasanya merujuk kepada revolusi Russia pada 1917.

Bagaimanapun, pihak yang dituduh menolak dakwaan Duterte dan menuntut beliau mendedahkan rakaman itu.

Duterte sendiri sebelum ini kerap membuat dakwaan bahawa ada pihak tertentu merancang untuk menggulingkannya.

Presiden Parti Liberal, Francis Pangilinan pula menggesa Duterte memecat mana-mana individu yang memberikan maklumat risikan kepadanya mengenai konspirasi itu.

“Sesiapa yang memberi maklumat risikan palsu itu mesti dipecat. Mereka sepatutnya memberi maklumat sahih yang perlu beliau dengar, bukannya maklumat meragukan yang mereka fikir beliau mahu dengar," katanya. - Agensi

Berita Harian X