Sabtu, 15 September 2018 | 7:31pm

13 maut feri karam di Sulawesi

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 13 maut, manakala lapan lagi dilaporkan masih hilang, selepas sebuah feri terbakar lalu karam di tengah Indonesia, hari ini.

Menurut pihak berkuasa, feri berkenaan dipercayai membawa hampir 150 penumpang dan sedang belayar di kawasan perairan di wilayah Sulawesi, ketika kebakaran berlaku.

Walaupun, ombak besar menyukarkan operasi menyelamat, seramai 126 penumpang berjaya diselamatkan tengah hari tadi.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan penumpang yang masih hilang.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari keluarga, ada lagi penumpang yang masih hilang,” kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Wisnu Wardana kepada AFP.

Antara yang terkorban dalam insiden itu ialah dua kanak-kanak.

Sebahagian besar penumpang yang diselamatkan didapati memakai jaket keselamatan, namun punca kejadian itu masih belum diketahui. - AFP

Berita Harian X