Isnin, 27 Ogos 2018 | 8:26pm
Rumah dimana seorang remaja berusia 15 tahun menggugurkan kandungan selepas dirogol abangnya di wilayah Jambi kepulauan Sumatera. - Foto JP
Rumah dimana seorang remaja berusia 15 tahun menggugurkan kandungan selepas dirogol abangnya di wilayah Jambi kepulauan Sumatera. - Foto JP

Remaja mangsa rogol gugur kandungan dibebas dari penjara

JAMBI : Seorang remaja berusia 15 tahun yang dipenjara kerana menggugurkan kandungan selepas dirogol abangnya dibebaskan dari menjalani hukuman berkenaan hari ini.

Kes terbabit sebelum ini mendapat perhatian antarabangsa dan dikecam hebat kumpulan hak asasi manusia yang sering mengkritik undang-undang ketat berkaitan pengguguran di negara itu.

Remaja berasal dari wilayah Jambi di kepulauan Sumatera itu dijatuhkan hukuman penjara enam bulan Julai lalu manakala abangnya yang berusia 17 tahun dipenjara selama dua tahun kerana merogol mangsa di bawah umur.

Mahkamah Tinggi Jambi hari ini bagaimanapun bersetuju menggugurkan tuduhan melakukan pengguguran ke atas mangsa selepas menerima rayuan peguam belanya.

“Panel hakim berkata defendan terbukti menggugurkan kandungan namun ia dilakukan kerana terpaksa,” kata jurucakap mahkamah, Hasoloan Sianturi.

Menggugurkan kandungan adalah salah di sisi undang-undang Indonesia melainkan jika si ibu mengalami komplikasi yang mengancam nyawa atau dalam keadaan tertentu seperti menjadi mangsa rogol.

Menurut undang-undang negara, pengguguran hanya boleh dilakukan doktor bertauliah dan usia kandungan tidak melebihi enam minggu manakala wanita terbabit perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dahulu.

Gadis malang itu, dirogol berulang kali oleh abangnya dan bertindak menggugurkan kandungan. enam bulan selepas disahkan mengandung. - AFP

Berita Harian X