Khamis, 16 Ogos 2018 | 6:18pm
THAILAND akan mengharamkan import 432 jenis sampah elektronik dalam tempoh enam bulan. - Foto fail Reuters
THAILAND akan mengharamkan import 432 jenis sampah elektronik dalam tempoh enam bulan. - Foto fail Reuters

Thailand larang import sampah elektronik, plastik

BANGKOK: Thailand akan mengharamkan import 432 jenis sampah elektronik dalam tempoh enam bulan, kata seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar hari ini, negara terbaharu menjawab tindakan keras China terhadap import sampah berteknologi tinggi tahun ini.

Negara Asia Tenggara itu bimbang mereka menjadi tapak pelupusan sampah baharu untuk sampah dunia selepas China melarang kemasukan beberapa jenis sisa sebagai sebahagian kempen menentang ‘sampah asing.’

Larangan dilakukan Thailand dibuat beberapa minggu selepas jiran serantaunya Vietnam berkata, ia akan berhenti mengeluarkan lesen baharu import sampah dan melakukan tindakan keras terhadap penghantaran tidak sah kertas, plastik dan keluli.

Larangan Thailand itu meliputi 432 jenis sampah elektronik daripada papan sirkit elektronik sehinggalah televisyen lama dan bahagian radio, berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan, kata seorang pegawai kementerian kepada Reuters.

Katanya, larangan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat semalam dipengerusikan Menteri Alam Sekitar, Surasak Kanchanarat.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Industri, Mongukol Pruekwatana memberitahu Reuters, senarai penuh barangan dilarang akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada masa sama, Thailand juga bercadang mengharamkan import sisa plastik dalam tempoh dua tahun lagi, kata pegawai kementerian namun tidak memberi butiran program itu. - Reuters

Berita Harian X