Khamis, 19 Julai 2018 | 11:59am

Indonesia kesan 29 'kawasan panas' di Sumatera

PALEMBANG: Kerajaan Indonesia mengesan 29 kawasan panas di Riau, Sumatera, sejak dua hari lalu dan sudah menghantar beberapa helikopter untuk memadamkan kebakaran sebelum Sukan Asia 2018 bermula di sini dan Jakarta, Ogos depan.

Agensi Geofizik, Cuaca dan Meteorologi Pekanbaru (BMKG) melaporkan bahawa bacaan satelit menunjukkan 29 kawasan panas di Riau.

Daripada jumlah itu, 15 dikesan di Dumai, tujuh lagi di kawasan Rokan Hilir, enam di Bengkalis dan satu lagi di Siak.

"Daripada semua kawasan panas itu, 24 daripadanya mencatat suhu melepasi 70 peratus yang bermakna kawasan panas mungkin kebakaran," kata Ketua Penerangan dan Data BMKG Pekanbaru, Marzuki.

Katanya lagi, angka berkenaan adalah lebih tinggi berbanding awal pagi Isnin lalu apabila hanya 12 kawasan panas dikesan.

Di Sumatera, kawasan Riau mencatat jumlah kawasan panas tertinggi. Semalam, satelit mengesan 15 lagi kawasan panas di Lampung, satu di Sumatera dan Bangka Belitung, serta satu di Sumatera Utara dan Bengkulu. - Agensi

Berita Harian X