X
Khamis, 12 April 2018 | 12:48am
24 jet pejuang Hornet F/A-18 berlepas dari kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt. - Foto AFP
24 jet pejuang Hornet F/A-18 berlepas dari kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt. - Foto AFP

Kapal AS pamer kuasa di Laut China Selatan

SINGAPURA: Lebih 24 jet pejuang Hornet F/A-18 berlepas dari kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dalam pertunjukan kuasa tentera Amerika Syarikat (AS), ketika belayar di Laut China Selatan.

Latihan ketenteraan semalam dilakukan sebelum kapal berkenaan berlabuh di Filipina, bersama beberapa negara yang terbabit dalam pertikaian wilayah dengan Beijing.

Pertunjukan itu dilakukan ketika kunjungan jeneral dan wartawan Filipina, diadakan beberapa hari selepas Beijing mempamerkan kuasa tenteranya dengan latihan ketenteraan besar-besaran membabitkan kapal pengangkut pesawat tunggal mereka dan puluhan kapal lain di lokasi terletak beberapa ratus kilometer di utara.

"Kami menyaksikan kapal China di sekeliling kita. Mereka adalah antara tentera laut yang beroperasi di Laut China selatan, namun kami hanya menyaksikan sikap profesional kapal yang ditemui," katanya.

Komander kumpulan kapal pengangkut pesawat, Timbalan Laksamana Steve Koehler mengakui banyak pertikaian membabitkan kawasan itu namun menegaskan, pasukannya hanya singgah di perairan antarabangsa.

AS, sekutu sekian lama Filipina, bukan pihak kepada pertikaian wilayah itu namun mahu mengekalkan laluan perairan penting supaya terus terbuka untuk perkapalan. -AFP

Berita Harian X