Rabu, 28 Februari 2018 | 1:22pm

Filipina mahu pelapor PBB tak berat sebelah

MANILA: Kerajaan Filipina akan membenarkan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia dalam kempen dadah kontroversinya, namun melarang tindakan itu jika ia dilakukan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih 30 negara, majoritinya dari Barat menggesa Filipina membenarkan pakar PBB, Agnes Callamard, menyiasat ribuan pembunuhan sepanjang 19 bulan tindakan kejam Presiden Rodrigo Duterte.

Kepakaran Callamard dalam PBB adalah pembunuhan di luar undang-undang dan dihukum bunuh tanpa bicara.

Jurucakap Duterte, Harry Roque seorang peguam berkata, Filipina mengalukan-alukan sebarang siasatan dengan syarat PBB menghantar seorang pelapor boleh 'dipercayai, objektif dan tidak berat sebelah', yang juga 'pakar dalam bidang disiasat mereka'.

Katanya, Callamard tidak sesuai dengan gambaran itu.

"Agnes Callamard tidak sesuai. Itu sebabnya negara tidak membenarkan beliau masuk ke sini," kata Roque dalam taklimat media.

Lebih 4,000 penduduk Filipina dibunuh polis dalam operasi memerangi dadah dan ratusan atau mungkin ribuan lagi oleh lelaki bersenjata tidak dikenali. -Reuters

Berita Harian X