Rabu, 13 Disember 2017 | 8:57pm
BEKAS Speaker Parlimen, Setya Novanto. - Foto EPA
BEKAS Speaker Parlimen, Setya Novanto. - Foto EPA

Cirit birit jejas perbicaraan bekas speaker

JAKARTA: Perbicaraan rasuah terbesar Indonesia ditangguhkan hari ini, gara-gara bekas Speaker Parlimen, Setya Novanto mendakwa mengalami cirit-birit sehingga tidak mampu hadir perbicaraan, sekali gus menarik ejekan dalam mahkamah.

Dakwaan itu, terbaharu dalam rentetan tipu helah termasuk cedera ketika nahas kereta yang dikatakan pengkritik sengaja dilakukan untuk mengelak pendakwaan.

Setya, 62, yang berdepan tuduhan rasuah sebelum ini tidak pernah disabitkan, adalah antara beberapa ahli politik kanan dituduh mengambil rasuah daripada dana projek kerajaan mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada lebih 250 juta penduduk Indonesia.

Skandal rasuah itu, didedahkan awal tahun ini, dianggarkan menggelapkan anggaran sekitar AS$170 juta (RM694.16 juta) daripada tabung kerajaan.

Skop dakwaan mengejutkan ramai di negara Asia Tenggara terkenal dengan amalan rasuah berleluasa dunia.

Setya, tiba di Mahkamah Pusat Jakarta memakai jaket jingga dipakai suspek rasuah, kelihatan lemah dan tidak bermaya selepas hakim berulang kali bertanya namanya.

"Saya mengalami cirit-birit selama lima hari. Saya meminta doktor memberi ubat, namun tidak diberi," katanya kepada mahkamah, disambut gelak tawa pemerhati.

Peguamnya berkata, Setya tidak sihat untuk dibicarakan walaupun hujahan daripada pendakwa raya bahawa tiga doktor memeriksanya lebih awal dan mengatakan dia sihat. - AFP

Berita Harian X