Sabtu, 15 Jun 2024 | 7:56am
Pesawat yang hilang sejak 1971 ditemui di dasar Tasik Champlain di Vermont, Amerika Syarikat. - Foto AGENSI
Pesawat yang hilang sejak 1971 ditemui di dasar Tasik Champlain di Vermont, Amerika Syarikat. - Foto AGENSI

Pesawat hilang selama 53 tahun ditemui di dasar tasik

VERMONT: Pasukan pencarian di Amerika Syarikat (AS) berkata mereka baru-baru ini menemui serpihan jet peribadi yang hilang selama lebih setengah abad di dasar Tasik Champlain, Vermont.

Selama lebih 53 tahun, pihak berkuasa percaya pesawat membawa dua anak kapal dan tiga pekerja firma hartanah Atlanta, Cousins Properties, terhempas ke dalam tasik ketika dalam penerbangan dari Burlington, Vermont, ke Providence, Rhode Island.

Tasik Champlain, yang bermula dari sempadan Vermont dan New York sehingga ke Kanada itu berukuran 22.5 kilometer (km) di rentasan yang paling lebar.

Sekurang-kurangnya 17 operasi bagi mencari lima penumpang lelaki itu dilakukan sejak 1971, masing-masing menggunakan teknologi yang semakin canggih dan lebih baru, namun pesawat malang itu gagal ditemui.

Kini, kata ketua pasukan pencarian, Garry Kozak, nasib pesawat yang telah lama disyaki terhempas dan lima orang di dalamnya disahkan, selepas kehilangan pesawat kecil itu dilaporkan ketika cuaca buruk lebih lebih lima dekad itu.

Contoh jenis jet peribadi yang hilang pada 1971.
Contoh jenis jet peribadi yang hilang pada 1971.

Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, kata Kozak, beliau menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi kebarangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan 'berkubur', iaitu di barat pulau Juniper.

Setahun kemudian, pasukan pencarian diketuai Kozak kembali ke tasik berkenaan dengan membawa jentera pencarian canggih yang mampu berfungsi di dasar tasik itu.

Hasilnya, teknologi berkenaan berjaya merakamkan visual resolusi tinggi bangkai serta serpihan pesawat yang menunjukkan panel pintu, satu daripada dua enjin termasuk alatan di bahagian kokpit pesawat malang berkenaan.

"Saya sangat gembira kerana kami menemuinya, dan saya bersyukur untuk ahli keluarga yang masih ada.

"Selepas bertahun-tahun menunggu tanpa kepastian, kami harap penemuan terbaharu ini dapat memberi ketenangan kepada anggota keluarga," katanya pencari dasar laut itu kepada USA TODAY.

Kozak menjelaskan, tidak lama selepas penerbangan itu, menara kawalan kehilangan semua hubungan radar dengan pesawat, tiada komunikasi kecemasan diterima.

Justeru, pegawai mengesyaki bahawa pesawat itu berkemungkinan besar terhempas ke dalam tasik, walaupun tiada bukti fizikal pada masa itu.

Kozak berkata beliau berkongsi video medan serpihan dalam air dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) untuk membantu pasukan forensik mereka mengesahkan bahawa serpihan itu adalah jet sama yang hilang 53 tahun lalu.

Buat masa sekarang, Kozak hanya berkongsi koordinat tepat medan serpihan itu dengan keluarga mangsa dan lokasinya dirahsiakan kerana ia adalah tapak kubur. - AGENSI

Berita Harian X