Khamis, 13 Jun 2024 | 9:58am
Elon Musk. - Foto REUTERS
Elon Musk. - Foto REUTERS

Pekerja SpaceX dipecat saman Elon Musk didakwa amal budaya seksis

SAN FRANCISCO: Pekerja SpaceX yang dipecat, mengheret Elon Musk ke mahkamah semalam, dengan memfailkan dakwaan ahli perniagaan itu mengamalkan budaya seksis di syarikat yang diasaskannya.

Berdasarkan aduan sivil yang difailkan di mahkamah California di Los Angeles, Musk didakwa memecat pekerja selepas mereka menulis surat terbuka bagi menyuarakan kebimbangan terhadap budaya itu dan meminta lembaga firma aeroangkasa Amerika Syarikat (AS) untuk menjauhkan diri daripada ketua eksekutif SpaceX terbabit.

Menurut pemfailan mahkamah, Musk dengan bangga menyatakan SpaceX sebagai peneraju kepada dunia baharu perjalanan angkasa lepas yang berani, namun mengendalikan syarikatnya seperti di Zaman Gelap (Dark Ages).

"Beliau menganggap wanita sebagai objek seksual untuk dinilai melalui saiz bra, gurauan seksual yang lucah di tempat kerja dan mencabar mereka mencari pekerjaan di tempat lain jika tidak suka suasana berkenaan," katanya.

Sebelum ini, pekerja yang dipecat memfailkan aduan di Lembaga Perhubungan Buruh Kebangsaan AS, namun ia sudah tidak terpakai susulan adanya tuntutan mahkamah yang cuba digagalkan Musk.

Menurut mahkamah, SpaceX pada 2022 memecat lapan pekerja.

Menurut tuntutan mahkamah dan aduan kepada pengawal selia, SpaceX memupuk persekitaran kerja yang penuh dengan permusuhan dengan gangguan seksual adalah perkara biasa, wanita dibayar kurang daripada lelaki dan pekerja yang membuat aduan dibuang kerja.

Dalam aduan mereka, jurutera menggambarkan budaya korporat seksis, dengan komen seksual dan bentuk gangguan lain dipandang remeh.

Sementara itu, peguam plaintif, Laurie Burgess dalam kenyataannya berkata, Musk dan SpaceX turut didakwa melakukan gangguan seksual, diskriminasi, tindakan balas dan proses pemberhentian yang salah.

"Musk fikir beliau kebal terhadap undang-undang.

"Namun kami akan mengheret Musk ke perbicaraan dan meminta beliau bertanggungjawab atas tindakannya itu," katanya.

Sementara itu, plaintif Paige Holland-Thielen, pula berkata, tindakan memfailkan saman ini menandakan peristiwa penting dalam menuntut keadilan, selain memastikan kepemimpinan yang bertanggungjawab.

"Ia juga bagi memastikan perubahan yang bertanggungjawab dalam dasar tempat kerja untuk rakan sekerja kami di SpaceX yang kini terpaksa berjuang dalam persekitaran kerja yang penuh dengan permusuhan.

"Kami berharap dengan tuntutan mahkamah ini dapat menggalakkan rakan sekerja supaya kekal kuat dan terus berjuang untuk memperoleh suasana tempat kerja yang lebih baik," katanya melalui kenyataan.

Sementara itu, SpaceX belum memberikan maklum balas ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Sebuah lagi syarikat utama Musk, Tesla menjadi subjek dakwaan perkauman dan gangguan seksual yang serupa di kilangnya di California.

Berita Harian X