Selasa, 4 Jun 2024 | 1:25pm
Bekas Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan dan bekas Ketua penasihat perubatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Dr. Anthony Fauci, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kecil Pilihan Pengawasan dan Pembaharuan Dewan mengenai Pandemik Koronavirus, di Capitol Hill di Washington, AS. - Foto REUTERS
Bekas Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan dan bekas Ketua penasihat perubatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Dr. Anthony Fauci, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kecil Pilihan Pengawasan dan Pembaharuan Dewan mengenai Pandemik Koronavirus, di Capitol Hill di Washington, AS. - Foto REUTERS

Fauci nafi sembunyi teori kebocoran makmal COVID-19

WASHINGTON: Bekas pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci, menafikan dakwaan dia cuba menyembunyikan teori bahawa COVID-19 berasal daripada kebocoran makmal di China.

Fauci memberitahu penggubal undang-undang bahawa dia tidak pernah mempengaruhi penyelidikan mengenai asal-usul virus itu.

Beliau berkata demikian ketika perbicaraan yang berlangsung selama 14 jam dan diadakan secara tertutup, Januari lalu.

Fauci juga mengulangi pendiriannya bahawa kemungkinan besar punca wabak itu adalah akibat penularan haiwan ke manusia.

"Saya sudah menjelaskan beberapa kali bahawa saya tidak rasa kebocoran makmal adalah teori konspirasi," katanya kepada panel Dewan Perwakilan AS.

Fauci bersara pada Disember 2022 selepas 54 tahun di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) AS termasuk berkhidmat sebagai pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) selama 38 tahun.

Beliau memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kecil Pilihan Pengawasan dan Kebertanggungjawaban berhubung Pandemik Koronavirus.

Jawatankuasa itu, yang ditubuhkan untuk mengetahui asal usul virus berkenaan, mendedahkan e-mel yang menunjukkan pegawai atasan NIH cuba menyembunyikan rekod awam dengan mengelak permintaan di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOIA).

Beberapa pegawai, termasuk penasihat dan pembantu Fauci yang lama, David Morens, didakwa memadam surat dan menggunakan e-mel peribadi bagi mengetahui undang-undang rekod awam.

Fauci berkata dia tidak pasti sama ada Morens melaporkannya secara langsung, selain pejabat mereka berada di bangunan yang berbeza.

Fauci menafikan pernah menggunakan alamat e-mel peribadi untuk membincangkan urusan kerajaan.

Fauci berkata Morens berulang kali melanggar dasar NIAID dan menafikan pernah berusaha untuk mengelakkan permintaan FOIA.

Dia turut menceritakan gangguan dan ancaman bunuh yang diterima keluarganya selepas difitnah oleh penggubal undang-undang Republikan berhubung pendirian pandemik dan memperjuangkan vaksin COVID-19 termasuk tuduhan terbabit dalam usaha besar-besaran bagi 'menutup' krisis kesihatan global. - REUTERS

Berita Harian X