Selasa, 4 Jun 2024 | 10:03am
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto fail Reuters
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto fail Reuters

Pemenjaraan saya akan 'cetuskan kebangkitan' rakyat AS - Trump

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau sanggup menerima hukuman tahanan di rumah atau dipenjarakan selepas sabitan tuduhan jenayah oleh juri New York minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran keputusan itu agak 'sukar untuk diterima' oleh rakyat AS dan ia mungkin 'mencetuskan kebangkitan' dalam kalangan mereka.

Trump dijadual dijatuhkan hukuman pada 11 Julai, empat hari sebelum parti Republikan berkumpul secara rasmi untuk memilih calon presiden mereka bagi menghadapi Presiden Demokrat, Joe Biden, pada pemilihan November ini.

Hukuman penjara jarang dijatuhkan terhadap defendan disabitkan kesalahan jenayah memalsukan rekod perniagaan di New York iaitu pertuduhan dihadapi Trump, yang mana hukuman maksimum ialah penjara empat tahun.

"Saya tidak pasti orang ramai akan dapat menerimanya (keputusan mahkamah), agak sukar. Pada satu ketika, mereka akan hilang sabar," kata calon presiden Republikan itu kepada Fox News mengenai kemungkinan hukuman penjara terhadapnya.

Trump berikrar akan merayu terhadap sabitannya oleh juri New York, yang mendapati dia bersalah atas 34 pertuduhan jenayah kerana memalsukan dokumen bagi bayaran untuk 'menutup mulut' seorang bintang lucah menjelang pemilihan presiden 2016.

Sekiranya mahu berjaya dalam rayuan, Trump, 77, mesti menunjukkan bahawa Hakim Juan Merchan membuat kesilapan yang ketara semasa menmgendalikan perbicaraannya.

Peguamnya berkata mereka mengharapkan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung.

Pada 2 Jun, Trump, yang cuba melucutkan kelayakan Hakim Merchan daripada kes itu, mengulangi dakwaan berat sikap sebelah oleh hakim dan peguam daerah yang mendakwa kes itu.

"Mahkamah Agung AS MESTI BUAT KEPUTUSAN!" tulis Trump di media sosial.

Menurut peguamnya, dia merancang untuk merayu selepas tarikh hukumannya pada 11 Julai dan jika rayuan di mahkamah negeri New York terbukti tidak berjaya, dia boleh merayu kepada Mahkamah Agung.

Di Mahkamah Agung, peguam Trump perlu memastikan hujah mereka mendapat sokongan sekurang-kurangnya empat daripada sembilan hakim mahkamah yang mendengar kesnya.

Trump kemudiannya perlu menunjukkan bahawa pihak pendakwaan negeri melanggar hak Perlembagaan Persekutuan dan pasukan undang-undangnya mengikut prosedur yang betul semasa peringkat awal prosiding.

Ditanya apa yang penyokong Trump patut lakukan jika dia dipenjarakan, Pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Lara Trump, memberitahu CNN bahawa mereka akan kekal bertenang.

"Suara protes mereka akan diterjemahkan menerusi peti undi pada pemilihan 5 November ini secara jelas lagi lantang dengan memilih Trump.

Beberapa penyokong Trump mula menggantung bendera AS secara terbalik selepas keputusan itu, yang menjadi simbol kesusahan atau protes di AS selama lebih 200 tahun.

Namun, isu itu dijangka tidak mungkin dapat diselesaikan sebelum pemilihan presiden November ini, apabila Trump akan berusaha untuk mengambil semula Rumah Putih daripada Biden.

Tinjauan pendapat menunjukkan perlumbaan rapat antara kedua-dua lelaki itu dan mencadangkan bahawa sabitan Trump boleh menjejaskan peluangnya dari segi sokongan dalam kalangan pengundi Republikan tertentu dan pengundi bebas.

Trump masih berdepan tiga kes jenayah lain, termasuk dua kes dakwaan cuba membatalkan kekalahannya dalam pemilihan 2020, tetapi ia tidak mungkin dapat dibicarakan atau diputuskan sebelum pengundian November ini.

Dia menafikan salah laku dalam semua kes dan menyifatkan tuduhan itu sebagai konspirasi Demokrat untuk menghalangnya daripada bertanding.

Biden pula berusaha untuk mempertahankan sistem keadilan negara, dengan mengatakan adalah 'melulu' dan 'berbahaya' untuk mendakwa keputusan mahkamah adalah suatu penipuan.

Jabatan Kehakiman AS pula menafikan sebarang campur tangan politik. - REUTERS

Berita Harian X