Jumaat, 31 Mei 2024 | 3:52pm
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi. - Foto AGENSI
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi. - Foto AGENSI

Ketua UNHCR bidas UNSC susulan jutaan jadi pelarian akibat perang

NEW YORK: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR), semalam mengkritik Majlis Keselamatan PBB (UNSC) susulan peningkatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan dan penganiayaan.

Ketua UNHCR, Filippo Grandi, berkata sehingga kini, 114 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di seluruh dunia.

"Bulan depan, kami akan mengemas kini angka itu dan sudah pasti ia akan menjadi lebih tinggi," katanya.

Beliau meluahkan kekesalan terhadap UNSC yang dikatakan tidak mengambil tindakan sewajarnya, sejak statistik mengenai jumlah pelarian semasa dikeluarkan Oktober lalu.

"Tujuh bulan sudah berlalu tetapi keadaan tidak berubah, sebaliknya ia bertambah buruk," katanya yang turut memetik peningkatan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan tekanan ke atas pekerja kemanusiaan.

Grandi merujuk kepada puluhan ribu orang yang terbunuh di Gaza, Ukraine, Sudan, Republik Demokratik Congo, Myanmar dan negara lain kerana undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak dipatuhi.

Beliau mengecam pihak yang terbabit dalam konflik kerana mengabaikan peraturan asas perang, mengakibatkan korban awam, keganasan seksual dan kemusnahan infrastruktur awam.

Grandi juga secara khusus menekankan keadaan yang teruk di Gaza, menggesa gencatan senjata segera, pembebasan tebusan dan penyambungan semula bantuan kemanusiaan sepenuhnya.

"Peristiwa kejam di (bandar raya selatan Gaza) Rafah membuatkan kami menyaksikan sekali lagi ratusan ribu orang cuba mengelak serangan maut," katanya.

"Perang di Gaza adalah peringatan tragik mengenai tentang apa yang berlaku apabila konflik (dan seterusnya krisis pelarian) dibiarkan tanpa pengawasan," katanya.

Mengulas mengenai krisis pelarian Syria, Grandi menekankan perlunya tindakan politik untuk menangani nasib 5.6 juta pelarian Syria di negara jiran, khususnya cabaran di Lubnan.

Beliau menyeru untuk mengatasi kekangan politik dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian.

Katanya, sudah terlambat untuk puluhan ribu yang terkorban di Gaza, Ukraine, Sudan, Congo, Myanmar dan banyak lagi tempat lain tetapi UNSC masih boleh bertindak menamatkan konflik atau krisis yang masih berterusan.

Beliau turut mengkritik UNSC yang sekian lama berpecah disebabkan ketegangan antara anggota tetapnya yang memegang kuasa veto.

Jelasnya, masih belum terlambat bagi menyelaras usaha baharu untuk menyelamatkan berjuta-juta lagi penduduk daripada bencana perang. - AFP

Berita Harian X