Jumaat, 31 Mei 2024 | 3:20pm
Penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), dan calon presiden Republikan, Donald Trump, berkumpul di luar mahkamah Manhattan di New York selepas dia disabitkan dengan 34 pertuduhan dalam perbicaraan jenayahnya. - Foto AFP
Penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), dan calon presiden Republikan, Donald Trump, berkumpul di luar mahkamah Manhattan di New York selepas dia disabitkan dengan 34 pertuduhan dalam perbicaraan jenayahnya. - Foto AFP

Penyokong Trump ajak merusuh, protes ganas susulan keputusan mahkamah

WASHINGTON: Penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berang susulan sabitan 34 pertuduhan jenayah oleh juri di mahkamah New York.

Mereka bertindak membanjiri laman web pro pemimpin itu dengan mesej menghasut supaya diadakan protes, revolusi dan tindak balas ganas bagi membela nasib pemimpin mereka.

Ini adalah berdasarkan pemerhatian Reuters terhadap komen di tiga laman sesawang mewakili Trump iaitu platform Truth Social milik bekas presiden itu sendiri, Patriots.Win dan Gateway Pundit.

Selepas Trump menjadi presiden AS pertama disabitkan dengan kesalahan jenayah, penyokongnya bertindak balas melalui puluhan siaran dalam talian yang berunsur ganas.

Ada yang menggesa serangan terhadap juri, pembunuhan hakim kes itu, Juan Merchan, selain pelancaran perang saudara secara terang-terangan atau pemberontakan bersenjata.

"Seseorang di New York perlu beri perhatian kepada Merchan. Harap dia bertemu pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa parang," kata seorang pengguna yang meninggalkan komen di Patriots.Win.

Di Gateway Pundit, satu poster mencadangkan golongan liberal ditembak selepas keputusan itu, dengan mesej: "Masa untuk mula membunuh orang berhaluan kiri. Ini tidak boleh diselesaikan dengan mengundi".

Dalam paparan di Truth Social pula Merchan digelar sebagai 'SANGAT BERCANGGAH' dan arahannya kepada juri dikritik sebagai tidak adil.

Penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), dan calon presiden Republikan, Donald Trump, berkumpul berhampiran kediamannya di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida, selepas dia disabitkan dengan 34 pertuduhan dalam perbicaraan jenayahnya. - Foto AFP
Penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), dan calon presiden Republikan, Donald Trump, berkumpul berhampiran kediamannya di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida, selepas dia disabitkan dengan 34 pertuduhan dalam perbicaraan jenayahnya. - Foto AFP

Seorang pengulas membalas dengan menyiarkan gambar pentas dan tali gantung bersama petikan: 'PENGGANAS YANG MENGKHIANATI SISTEM KEADILAN'.

Ancaman keganasan dan retorik bertujuan menggertak melonjak selepas Trump kalah dalam pilihan raya 2020 dan membuat dakwaan tidak berasas bahawa berlaku penipuan dalam undian.

Ketika Trump berkempen untuk penggal kedua Rumah Putih, beliau tampil dengan tuduhan tidak berasas dan mendakwa hakim serta pendakwa raya dalam perbicaraannya diperalatkan serta menerima rasuah, didalangi pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.

Penyokong tegar Trump bertindak balas dengan kempen ugutan yang menyasarkan hakim dan pegawai mahkamah.

"Ini memalukan, perbicaraan yang curang, hakim yang makan rasuah," katanya kepada pemberita, mengulangi komen yang sering dibuatnya ketika perbicaraan.

Juri mendapati Trump bersalah dalam setiap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran yang bertujuan untuk menutup mulut bintang lucah, Stormy Daniels, menjelang pemilihan presiden pada 2016.

Hukuman ditetapkan pada 11 Julai, beberapa hari sebelum parti Republikan dijadual mencalonkan Trump secara rasmi dalam pemilihan presiden, 5 November depan.

Trump bagaimanapun menafikan salah laku terbabit dan dijangka membuat rayuan, selain turut meneruskan serangan secara dalam talian selepas keputusan kesnya diumumkan. - REUTERS

Berita Harian X