Jumaat, 31 Mei 2024 | 10:54am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

AS rekod kes ketiga jangkitan selesema burung pada manusia

MICHIGAN: Seorang pekerja tenusu Amerika Syarikat (AS) disahkan mangsa ketiga positif selesema burung selepas terdedah kepada lembu yang dijangkiti, dan yang pertama mengalami masalah pernafasan, kata pegawai AS pada Khamis.

Jangkitan itu adalah kes manusia kedua di Michigan, yang mengesahkan lebih banyak kes selesema burung dalam lembu tenusu berbanding mana-mana negeri lain.

Ia juga menambah gejala untuk kes manusia, selepas dua pekerja yang sebelum ini diuji positif hanya mengalami konjunktivitis, atau mata bertukar merah jambu, dan pulih.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata kes terbaharu itu tidak mengubah penilaiannya bahawa selesema burung hanya berisiko rendah kepada orang awam dan ia tidak melihat bukti kukuh penularan daripada manusia ke manusia.

Timbalan pengarah utama CDC, Nirav Shah, memberitahu wartawan bahawa agensi itu menjangkakan akan melihat gejala pernafasan kerana virus influenza novel terdahulu turut menunjukkan gejala itu.

"Pada masa yang sama, gejala pernafasan meningkatkan kemungkinan mendedahkan seseorang kepada virus berbanding gejala lain (sakit mata)," katanya.

Sementara itu, Michigan tidak lama lagi akan mula menguji pekerja ladang tenusu untuk tanda-tanda jangkitan terdahulu bagi selesema burung, kata seorang pegawai kesihatan kepada Reuters.

Pegawai kesihatan negeri dan tempatan sudah pun memantau pekerja ladang yang terdedah untuk gejala selesema burung.

Wabak selesema burung yang berterusan pada lembu tenusu menjejaskan 67 ladang ternakan di sembilan negeri sejak Mac, menurut data CDC.

Pekerja ketiga yang diuji positif melaporkan gejala saluran pernafasan bahagian atas termasuk batuk tanpa demam, dan ketidakselesaan mata dengan masalah mata berair, kata CDC.

Pesakit itu diberi rawatan antivirus, diasingkan di rumah, dan simptomnya semakin pulih, kata CDC.

Anggota isi rumah yang berhubungan dengan pesakit tidak mengalami gejala dan sedang dipantau untuk kesan penyakit itu, tambah agensi terbabit.

Pekerja berkenaan bekerja di ladang yang berbeza daripada kes manusia sebelumnya yang dilaporkan Michigan pada 22 Mei.

CDC melaporkan kes manusia pertama yang berkaitan dengan lembu tenusu di Texas pada 1 April, namun tiada satu pun daripada tiga kes manusia didapat berkaitan antara satu sama lain.

Pegawai kesihatan dan pengarah kesihatan alam sekitar dengan Jabatan Kesihatan Daerah Ionia di Michigan, Chad Shaw, berkata pegawai daerah dan negeri Michigan akan bekerjasama dengan CDC dalam melakukan ujian, yang butirannya belum diumumkan.

Ionia County melaporkan jangkitan selesema burung dalam empat ternakan lembu tenusu dan empat ladang ternakan ayam, menurut data negeri.

Pakar selesema burung di Universiti Minnesota, Michael Osterholm, berkata ujian untuk jangkitan terdahulu adalah penting untuk menentukan sejauh mana virus itu merebak dalam kalangan manusia.

"Pendedahan yang meluas boleh meningkatkan kemungkinan virus akan bermutasi menjadi lebih mudah berjangkit pada manusia," katanya.

Pengarah tindak balas penyakit berjangkit di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, David Boucher, berkata pembuatan 4.8 juta dos vaksin selesema burung akan disiapkan pada musim panas ini. - REUTERS

Berita Harian X