Jumaat, 31 Mei 2024 | 8:12am

Trump bekas presiden pertama AS yang menjadi penjenayah

NEW YORK: Donald Trump menjadi bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang disabitkan dengan jenayah selepas juri New York mendapati dia bersalah atas semua 34 pertuduhan terhadapnya.

Namun, dia masih boleh bertanding dalam pemilihan Presiden AS November ini,

yang boleh menyaksikannya kembali ke Rumah Putih.

Juri mendapati Trump bersalah dalam setiap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran yang bertujuan untuk menutup mulut bintang lucah, Stormy Daniels, menjelang pemilihan presiden pada 2016.

Secara teori, dia boleh dihukum penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan tetapi lebih berkemungkinan tidak akan dipenjarakan, sebaliknya hanya dikenakan syarat berkelakuan baik.

Pemimpin Republikan berusia 77 tahun itu, yang dibebaskan tanpa ikat jamin, kini menjadi penjenayah, suatu sejarah yang mengejut bagi negara di mana presiden sering digambarkan sebagai orang paling berkuasa di dunia.

Penghukuman Trump bagaimanapun tidak menghalangnya daripada meneruskan perjuangannya untuk menggulingkan Presiden AS, Joe Biden, pada 5 November ini, meskipun dia dipenjarakan.

Trump kekal dengan semangat juangnya dan membidas keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya serta berikrar kepada wartawan bahawa 'keputusan sebenar akan datang daripada pengundi'.

"Saya seorang yang tidak bersalah, seluruh kes mahkamah ini dimanipulasi dan sesuatu yang amat memalukan, semata-mata untuk menghalang saya bertanding," katanya.

Sementara itu, pasukan kempen pemilihan semula Biden berkata keputusan perbicaraan kes jenayah yang memutuskan Trump bersalah semalam membuktikan bahawa 'tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang'.

"Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak mengubah dinamik pemilihan presiden pada 5 November depan, masih ada satu cara untuk menghalang Trump daripada menerajui Pejabat Oval, di peti undi," kata jurucakap kempen Biden, Michael Tyler.

Selepas perbincangan selama dua hari, 12 juri memutuskan Trump bersalah atas semua 34 pertuduhan ke atasnya, dengan memenuhi syarat keputusan sebulat suara yang diperlukan bagi mana-mana kes.

Menurut Tyler, pihaknya sejak beberapa minggu lalu mempertimbangkan cara mengendalikan keputusan perbicaraan itu.

Pada akhirnya, mereka memutuskan untuk tidak mengubah haluan, dengan alasan keputusan bersalah ke atas Trump tidak akan mengubah secara ketara dinamik pemilihan presiden.

Sebaliknya, mereka merancang untuk kekalkan tump;uan pada mesej utama kempen, mengenai ancaman kepada demokrasi dan akses pengguguran.

"Bersabit kesalahan atau tidak, Trump akan menjadi calon Presiden Republikan," katanya.

Sementara itu, jurucakap pejabat Penasihat Rumah Putih, Ian Sams, berkata pihaknya menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak berhasrat mengulas mengenainnya. - REUTERS

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon presiden Republikan, Donald Trump, ketika dia tiba di Menara Trump selepas disabitkan dalam perbicaraan jenayahnya di New York City. - Foto AFP
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon presiden Republikan, Donald Trump, ketika dia tiba di Menara Trump selepas disabitkan dalam perbicaraan jenayahnya di New York City. - Foto AFP
Berita Harian X