Ahad, 26 Mei 2024 | 10:27am
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Tesla, pemilik X dan syarikat pemula xAI, Elon Musk. - Foto REUTERS
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Tesla, pemilik X dan syarikat pemula xAI, Elon Musk. - Foto REUTERS

Elon Musk rancang bina komputer hebat xAI

WASHINGTON: Ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk merancang untuk membina komputer hebat untuk menggerakkan versi seterusnya AI chatbot Grok menerusi pemula kecerdasan buatan (AI) miliknya, xAI.

Menurut laporan media The Information, yang memetik pembentangan laporan tahunan kepada pelabur, projek itu dijangka bermula pada musim luruh 2025.

Syarikat pemula xAI milik Musk itu dikatakan sudah mendapatkan dana mencukupi, yang meletakkan nilai syarikat itu sekitar AS$18 bilion (RM84.8 bilion), sekali gus membolehkannya menyaingi OpenAI dan Anthropic serta mengatasi persaingan termasuk Meta, Microsoft dan Google.

Kata Musk, xAI boleh bekerjasama dengan Oracle untuk membangunkan komputer hebat itu, namun xAI mahu pun Oracle enggan mengulas lanjut.

Menurut The Information, sebaik selesai, kumpulan cip yang disambungkan iaitu unit pemprosesan grafik (GPU) utama Nvidia akan menjadi sekurang-kurangnya empat kali ganda saiz kluster GPU terbesar yang ada hari ini.

Keluarga GPU berkuasa H100 Nvidia menguasai pasaran cip pusat data untuk AI tetapi sukar diperoleh kerana permintaan yang tinggi.

Musk mengasaskan xAI pada tahun lalu sebagai pencabar kepada OpenAI yang disokong Microsoft dan Google Alphabet, malah beliau juga adalah pengasas kepada OpenAI.

Awal tahun ini, Musk berkata, latihan model Grok 2 mengambil kira-kira 20,000 GPU Nvidia H100, sambil menambah bahawa model Grok 3 dan seterusnya akan memerlukan 100,000 cip Nvidia H100. - REUTERS

Berita Harian X