Sabtu, 25 Mei 2024 | 10:25am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Virus selesema burung pada susu lembu mentah boleh berjangkit

WASHINGTON: Tikus yang diberi susu lembu mentah dijangkiti selesema burung mengalami tahap jangkitan virus yang tinggi dalam paru-paru, menurut kajian yang mengesyorkan risiko sama kepada manusia yang mengambil minuman itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, virus selesema burung yang sangat patogenik dipanggil HPAI H5N1 telah merebak untuk menjangkiti lebih daripada 50 spesies haiwan, termasuk pada lembu tenusu di Amerika Syarikat (AS) bermula Mac lalu.

Sehingga kini, 52 ternakan di seluruh negara itu terjejas, dengan dua jangkitan manusia membabitkan pekerja ladang yang mengalami gejala ringan, termasuk kesan pada mata yang menyebabkannya bertukar warna kepada merah jambu.

Dalam kajian baru diterbitkan New England Journal of Medicine, penyelidik dari Universiti Wisconsin-Madison dan Texas A&M memberi makan titisan susu mentah daripada lembu yang dijangkiti kepada lima tikus.

Tikus itu mengalami tanda-tanda penyakit, termasuk kelesuan, dan kemudian dibunuh empat hari kemudian untuk mengkaji organ dalaman mereka.

Penyelidik mendapati tahap virus yang tinggi dalam saluran hidung, trakea dan paru-paru mereka, dan tahap virus sederhana hingga rendah dalam organ lain.

"Pertimbangan penting ialah penggunaan susu mentah yang tidak dinyah kuman menjadi semakin popular," kata Rowland Kao, seorang profesor epidemiologi veterinar di Universiti Edinburgh, yang tidak terbabit dalam penyelidikan itu.

Katanya, walaupun kajian ini menunjukkan tikus boleh dijangkiti secara sistemik kerana diberi susu yang dijangkiti, ini tidak membuktikan perkara yang sama boleh berlaku kepada manusia, tetapi tidak mustahil ia berlaku.

Sebagai tambahan kepada ujian tikus, penyelidikan mengesahkan bahawa memanaskan susu mentah kepada suhu tinggi memusnahkan hampir semua virus selepas beberapa saat, dan memusnahkan sepenuhnya patogen selepas beberapa minit.

Akhirnya, penyelidik menguji kesan menyimpan susu mentah yang dijangkiti pada suhu peti sejuk dan mendapati tahap virus menurun hanya sedikit selepas lima minggu, menunjukkan bahawa penyejukan sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan susu mentah selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, virus selesema burung turut ditemui dalam sampel tisu yang diambil daripada seekor lembu tenusu yang dihantar untuk disembelih di kilang pemprosesan daging A.S.

Bagaimanapun, tiada satu pun dikesan dalam sampel daripada 95 lembu lain, kata Jabatan Pertanian AS (USDA) pada hari Jumaat.

Daging daripada haiwan itu dihalang daripada memasuki bekalan makanan negara, kata USDA.

Pegawai pertanian dan kesihatan meningkatkan ujian daging dan produk tenusu dan ternakan, kerana wabak selesema burung kini berkembang dalam lembu tenusu.

Jabatan itu telah mengesahkan jangkitan selesema burung dalam 58 kumpulan tenusu di sembilan negeri. - REUTERS

Berita Harian X