Isnin, 20 Mei 2024 | 3:04pm
Penduduk Palestin yang dipindahkan beratur untuk membeli air dari trak air di sebelah kem sementara mereka di Rafah. - Foto AFP
Penduduk Palestin yang dipindahkan beratur untuk membeli air dari trak air di sebelah kem sementara mereka di Rafah. - Foto AFP

AS tangguh bekal senjata kepada Israel

WASHINGTON: Kecewa pandangannya diabaikan, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengarahkan penghantaran bom dihentikan bagi menegaskan pendiriannya kepada pemimpin Israel.

Keputusan Biden untuk menghentikan sementara penghantaran 3,500 bom ke Israel, bertujuan untuk menyampaikan isyarat jelas, bahawa kesabarannya mempunyai batas, selepas lebih 35,000 penduduk Gaza terbunuh.

Sambil menegaskan sokongannya terhadap negara Yahudi itu kekal 'kukuh', Biden buat kali pertama sejak perang Gaza meletus pada Oktober, memilih menggunakan kuasanya sebagai ketua pembekal senjata Israel, untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

Menurut pegawai AS, Washington menghentikan penghantaran yang 1,800 bom seberat 907 kilogram (kg) tiap satu, dan 1,700 bom yang lebih kecil.

Empat sumber berkata, penghantaran itu membabitkan Senjata Serangan Bersama buatan Boeing, yang menukar bom senyap kepada bom berpandu ketepatan jitu, serta Bom Diameter Kecil (SDB-1).

Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP
Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP

SDB-1 ialah bom luncur berpandu ketepatan yang mengandungi 250 paun bahan letupan.

Semua itu adalah sebahagian daripada penghantaran yang diluluskan sebelum ini kepada Israel, bukan pakej bantuan tambahan AS$95 bilion (RM445 bilion) baru-baru ini, yang diluluskan oleh Kongres AS pada April.

Keputusan AS itu diambil berikutan kebimbangan mengenai 'penggunaan akhir bom seberat 2,000 paun dan kesannya di kawasan bandar padat seperti yang dilihat di bahagian lain di Gaza, kata seorang pegawai AS yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kesan letupan bom sebesar itu dikatakan boleh memecahkan paru-paru, rongga sinus dan merobek anggota badan individu yang berada ratusan meter dari tapak letupan.

Bagaimanapun, Israel menafikan menyasarkan orang awam Palestin dan sebaliknya menegaskan, sasarannya adalah untuk memusnahkan kumpulan Hamas dan ia mendakwa mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kematian yang tidak perlu.

Seorang askar Israel melakukan rondaan menggunakan kenderaan berperisai di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang askar Israel melakukan rondaan menggunakan kenderaan berperisai di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Penangguhan pengiriman bom menandakan titik perubahan yang ketara dalam hubungan 76 tahun antara AS dengan Israel.

Dari segi sejarah, hubungan itu adalah suatu perkongsian keselamatan paling rapat di dunia dan perbalahan kecil tidak semestinya membawa perpecahan.

Pentadbiran Biden masih membenarkan kebanyakan senjata lain dihantar ke Israel, dan sebenarnya pegawai menekankan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat mengenai pengiriman bom.

Biden berharap, penangguhan itu akan mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghentikan pencerobohan ke atas Rafah, bandar selatan Gaza, tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung di situ.

Biden membantah operasi seumpama itu, kerana khuatir korban awam akan melonjak disebabkan bekalan bom oleh AS.

Kanak-kanak berdiri berhampiran kawah yang terbentuk akibat pengeboman Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kanak-kanak berdiri berhampiran kawah yang terbentuk akibat pengeboman Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Beliau berkata pada 8 Mei, beliau juga akan menyekat penghantaran peluru artileri yang boleh digunakan untuk membedil kawasan kejiranan bandar Rafah.

"Saya telah menyatakan dengan jelas kepada Netanyahu dan Kabinet perangnya, mereka tidak akan mendapat sokongan kami, jika mereka serang pusat-pusat penduduk ini," katanya dalam temu bual dengan saluran berita AS, CNN.

Beliau akui, sesuatu yang jarang dilakukannya, bahawa bom AS telah membunuh ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah.

"Orang awam telah terbunuh di Gaza, akibat bekalan bom tersebut dan juga dengan cara lain yang mereka lakukan dengan menyasarkan pusat penduduk," kata Biden.

Rancangan Israel untuk menyerbu Rafah menjadi punca pergeseran sengit dengan pentadbiran Biden selama berbulan-bulan. - AGENSI

Berita Harian X