Rabu, 15 Mei 2024 | 2:54pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Biden rancang pakej senjata baharu AS$1 bilion kepada Israel

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, memaklumkan Kongres mengenai pakej senjata bernilai AS$1 bilion (RM4.7 bilion) untuk Israel.

Menurut sumber rasmi, ia dimaklumkan seminggu selepas AS mengancam untuk menahan penghantaran beberapa senjata kerana Israel tidak mengendahkan larangan jangan menyerang Rafah.

Pihak pentadbiran Biden secara tidak rasmi memaklumkan pakej senjata itu kepada Kongres, yang perlu meluluskannya dan senjata yang dibeli daripada pembuat senjata AS itu berjumlah sekitar AS$1 bilion (RM4.7 bilion).

Senjata itu akan dikeluarkan daripada pakej utama bernilai AS$95 bilion (RM445 bilion) yang baru-baru ini diluluskan oleh Kongres sebagai sokongan pertahanan untuk Ukraine, Israel dan Taiwan.

Pentadbiran Biden berulang kali berkata ia merancang untuk meneruskan dan memperuntukkan dana itu melalui pembelian senjata daripada pengeluar di AS.

Perjanjian itu dibuat seminggu selepas Biden memberi amaran bahawa beliau akan menahan bom dan peluru meriam ke Israel jika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meneruskan serangan ke atas Rafah.

Pentadbiran Biden juga mengesahkan minggu lalu bahawa buat pertama kalinya ia menghentikan penghantaran, termasuk bom 2,000 paun, didorong kebimbangan penggunaannya akan mengakibatkan risiko besar terhadap orang awam di Rafah.

Kongres masih boleh menyekat penjualan senjata kepada Israel, dengan anggota berhaluan kiri dalam parti Demokrat Biden masih marah dengan jumlah korban besar orang awam dalam perang di Gaza.

Namun, pakej bantuan berkenaan masih diluluskan meskipun dibantah ahli Demokrat berhaluan kiri, kerana hampir kesemua anggota parti Republikan menyatakan sokongan terhadap pembekalan senjata kepada Israel.

Wall Street Journal pertama kali melaporkan pakej senjata baharu termasuk AS$700 juta (RM3.28 bilion) bagi peluru kereta kebal dan AS$500 juta (RM2.34 bilion) untuk kenderaan taktikal. - AFP

Berita Harian X