Isnin, 13 Mei 2024 | 11:47am
Warga Palestin yang melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza tiba di Deir el-Balah, tengah Gaza. - Foto AFP
Warga Palestin yang melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza tiba di Deir el-Balah, tengah Gaza. - Foto AFP

Serangan Israel ke atas Rafah tidak akan hapuskan Hamas - Blinken

WASHINGTON: Serangan Israel ke atas bandar Rafah di Gaza akan mencetuskan "anarki" (penentangan) tanpa menghapuskan Hamas, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken semalam ketika Washington meningkatkan kempen tekanan terhadap serangan sedemikian.

Kebimbangan AS itu juga disuarakan menerusi panggilan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan kepada rakan sejawatannya dari Israel, Tzachi Hanegbi.

"Sullivan mengulangi kebimbangan Presiden Joe Biden sejak sekian lama mengenai potensi operasi darat ke Rafah, di mana lebih satu juta orang berlindung," menurut kenyataan Rumah Putih.

Hanegbi juga menyatakan Israel akan mengambil kira kebimbangan AS namun tidak mengulas lanjut.

Ketika ini, pengeboman Israel di bahagian timur Rafah sudah menyebabkan 300,000 penduduk Gaza melarikan diri.

AS dan negara lain, serta pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga mengecam serangan penuh terhadap Rafah itu boleh memberi kesan buruk kepada pelarian yang sudah dihalau ke sana, kerana kebanyakan mereka hidup dalam keadaan terdesak.

Israel mendakwa, mereka cuba untuk mengekalkan korban awam pada tahap minimum.

Blinken dalam program 'Face the Nation' CBS juga ditanya, sama ada AS bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa tenteranya membunuh lebih ramai orang awam daripada pejuang Hamas sejak perang bermula mengakui perkara itu.

Blinken berkata, pencerobohan berskala penuh boleh menyebabkan 'risiko dengan kos yang sangat tinggi' dan serangan besar-besaran ke atas Rafah tidak mungkin menamatkan ancaman Hamas.

"Israel berada di trajektori, berpotensi untuk mewarisikan pemberontakan apabila ramai Hamas bersenjata terlepas atau jika mereka pergi, kekosongan itu akan dipenuhi oleh huru-hara, dipenuhi oleh anarki dan mungkin diisi semula oleh Hamas," katanya.

Blinken juga mengesahkan mengenai komitmen pembekalan senjata oleh Biden, yang mengehadkan 3,500 bom 'berkapasiti tinggi'.

Beliau berkata, AS akan terus menekan pemimpin Israel untuk menyediakan rancangan untuk Gaza sebaik sahaja perang berakhir.

"Kami sudah bercakap dengan mereka mengenai cara yang lebih baik untuk mendapatkan hasil yang berkekalan," katanya.

Diplomat AS itu itu juga menyatakan, pejuang Hamas sudah kembali ke kawasan tertentu di utara Gaza yang didakwa 'dibebaskan' oleh Israel.

Semalam, Blinken turut berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dan menegaskan, AS menentang operasi darat Israel di Rafah.

"Blinken menggariskan keperluan mendesak untuk melindungi orang awam dan pekerja bantuan di Gaza malah menggesa menteri untuk memastikan bantuan boleh bergerak ke Gaza serta membantu menangani cabaran pengagihan itu di Gaza ketika Israel memburu Hamas," kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller dalam satu kenyataan.

Ditanya mengenai laporan Jabatan Negara yang dikeluarkan pada Jumaat lalu, yang mendedahkan Israel berkemungkinan melanggar norma undang-undang antarabangsa dalam penggunaan senjata AS, Blinken berkata masih terdapat terlalu sedikit bukti untuk menamatkan semua sokongan ketenteraan.

Katanya, keadaan huru-hara, bahaya dalam peperangan yang berterusan menjadikannya 'sangat sukar' untuk menentukan dengan tepat apa yang berlaku atau senjata apa yang digunakan, dalam sebarang tindakan tertentu.

Senator Tom Cotton, yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera pula memberitahu CBS, laporan Jabatan Negara itu 'sangat jelas tidak mempunyai bukti bahawa Israel melanggar undang-undang antarabangsa'.

Berita Harian X