Isnin, 13 Mei 2024 | 11:31am
Sebuah rumah Porto Alegre, Rio Grande do Sul, Brazil ditenggelami banjir. - Foto AFP
Sebuah rumah Porto Alegre, Rio Grande do Sul, Brazil ditenggelami banjir. - Foto AFP

Angka kematian akibat bencana alam terburuk di Brazil meningkat kepada 143

SAO PAULO: Angka kematian akibat bencana alam terburuk yang pernah melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, meningkat kepada 143 orang dengan 125 orang masih hilang dan lebih daripada 600,000 orang dipindahkan, lapor Xinhua memetik agensi Pertahanan Awam.

Rekod hujan lebat selama dua minggu yang mengakibatkan banjir dan gelongsoran lumpur, menyaksikan adegan dramatik mangsa bencana diselamatkan di 446 bandar termasuk ibu negerinya Porto Alegre, di mana Sungai Guaiba melimpah dan membanjiri separuh daripada bandar itu.

Hujan lebat bermula pada 29 April dan berterusan sehingga Ahad, memadamkan harapan banjir akan surut, serta meningkatkan jumlah orang yang dipindahkan daripada kira-kira 441,000 pada Sabtu kepada 618,550 pada Ahad.

Institut Meteorologi Kebangsaan meramalkan hujan lebat akan berterusan sehingga Isnin di negeri paling selatan Brazil itu, yang bersempadan dengan Argentina dan Uruguay.

Gabenor Eduardo Leite berkata minggu ini ia akan memerlukan kira-kira 19 bilion reais (AS$3.7 bilion) untuk membina semula Rio Grande do Sul selepas banjir kali ini.

Berita Harian X