Sabtu, 11 Mei 2024 | 12:16pm
Rakaman dron menunjukkan orang ramai berjalan di laluan yang dinaiki air di Eldorado do Sul, negeri Rio Grande do Sul, Brazil. - Foto REUTERS
Rakaman dron menunjukkan orang ramai berjalan di laluan yang dinaiki air di Eldorado do Sul, negeri Rio Grande do Sul, Brazil. - Foto REUTERS

Hujan lebat landa Brazil lagi, lebih ramai dipindahkan

PORTO ALEGRE: Jumlah penduduk di selatan Brazil yang terpaksa berpindah akibat banjir meningkat dua kali ganda dalam tempoh 24 jam lalu.

Penduduk Rio Grande do Sul terpaksa kembali bersiap sedia menghadapi hujan lebat pada hujung minggu ini, walaupun air sungai di jalan bandar mulai surut.

Banjir yang dikaitkan pakar dengan perubahan iklim dan diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino, menjejaskan hampir dua juta orang.

Pihak berkuasa berkata setakat ini 126 mangsa disahkan maut dan 756 cedera manakala seramai 141 orang lagi masih hilang.

Bandar Porto Alegre, yang menempatkan 1.4 juta penduduk, kembali normal semalam dengan beberapa perniagaan dibuka.

Institut Meteorologi Kebangsaan berkata, pihaknya menjangkakan hujan dengan angin kencang dan hujan batu akan melanda bermula hujung minggu ini.

"Tempoh baharu ketidakstabilan atmosfera dengan hujan sehingga 200 milimeter (mm) dijangka menjelang Isnin.

Rakaman dron menunjukkan kesan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat di Mucum, negeri Rio Grande do Sul, Brazil. - Foto AFP
Rakaman dron menunjukkan kesan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat di Mucum, negeri Rio Grande do Sul, Brazil. - Foto AFP

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, jumlah penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah meningkat hampir dua kali ganda kepada sekitar 411,000 orang, menurut angka pertahanan awam selain lebih 71,000 sudah ditempatkan di pusat perlindungan.

Susulan bekalan air masih dipotong, air minuman bersih menjadi komoditi terhad di Porto Alegre, manakala trak tangki menghantar air ke tempat perlindungan dan hospital.

Di bandar Eldorado do Sul, bot melalui jalan-jalan yang ditenggelami air, membawa makanan kepada mereka yang enggan meninggalkan rumah mereka, berikutan takut dirompak.

Banjir berlumpur memusnahkan lebih 85,000 rumah dan menjejaskan ekonomi pertanian penting di wilayah itu.

Di kawasan penanaman padi di sekitar Porto Alegre, petani Daniel Dalbosco berkata dia kehilangan tanaman yang tenggelam sehingga dua meter.

Jiran-jirannya 'kehilangan antara 40 dan 50 hektar tanaman', menjadikan keadaan sangat rumit. - AFP

Berita Harian X