Sabtu, 11 Mei 2024 | 10:58am
‘Northern Lights’ atau aurora borealis di ruang udara gunung di Utakleiv di Kepulauan Lofoten, Norway. - Foto AFP
‘Northern Lights’ atau aurora borealis di ruang udara gunung di Utakleiv di Kepulauan Lofoten, Norway. - Foto AFP

Ribut solar kuat melanda bumi, ancam gangguan

WASHINGTON: Ribut solar yang melanda bumi, semalam berkemungkinan menyebabkan gangguan kepada satelit dan grid kuasa selain menyebabkan 'aurora' atau limpahan cahaya yang menarik.

Aurora, atau biasa disebut sebagai Northern Lights, biasanya boleh dilihat di tempat seperti Iceland, Scandinavia, Alaska dan bahagian utara Kanada.

Ia berlaku apabila zarah-zarah dari matahari memasuki atmosfera bumi dan bertembung secara agresif dengan atom gas.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, lonjakan jisim korona (CME) yang pertama, iaitu pengusiran plasma dan medan magnet dari matahari, berlaku awal petang semalam.

Ribut geomagnet yang ketara dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini dan berlaku ketika matahari menghampiri kemuncak kitaran 11 tahun yang membawa kepada aktiviti lebih tinggi.

Peramal cuaca angkasa, Shawn Dahl berkata, pihaknya sudah memaklumkan semua pengendali infrastruktur, seperti pengendali satelit, pihak komunikasi dan sudah tentu, grid kuasa di Amerika Utara.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS), bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang kesan ketara kepada sistem ruang udara negara akibat potensi ribut geomagnet.

Tidak seperti suar suria, yang bergerak pada kelajuan cahaya dan sampai ke bumi dalam masa sekitar lapan minit, CME bergerak pada kadar yang lebih tenang, iaitu purata semasa pada 800 kilometer (km) sesaat.

Pada satu tahap, terdapat sehingga tujuh CME dalam transit, yang terpancar daripada gugusan tompok matahari yang 16 kali lebih lebar berbanding planet ini, tetapi tidak jelas bagaimana ia bergabung bersama sepanjang perjalanan.

Seorang profesor fizik angkasa lepas Universiti Reading, Mathew Owens berkata, kesan ribut akan dirasai di lintang utara dan selatan planet, bergantung kepada kekuatannya.

"Utara Kanada dan Scotland adalah antara tempat yang akan meyaksikan aurora yang bagus," katanya, dengan fenomena sama berlaku di hemisfera selatan.

‘Northern Lights’ atau aurora borealis dilihat di ruang udara Margate, Kent, tenggara Britain, semasa ribut geomagnetik. - Foto AFP
‘Northern Lights’ atau aurora borealis dilihat di ruang udara Margate, Kent, tenggara Britain, semasa ribut geomagnetik. - Foto AFP

Brent Gordon dari NOAA menggalakkan orang ramai untuk cuba merakam langit malam dengan kamera telefon walaupun mereka tidak dapat melihat aurora dengan mata kasar.

"Anda hanya perlu berada di luar dan ambil gambar dengan telefon bimbit dan anda akan kagum dengan apa yang dilihat dalam gambar itu berbanding apa yang anda lihat dengan mata kasar anda," katanya.

Medan magnetik turun naik yang dikaitkan dengan ribut geomagnet mendorong arus dalam wayar panjang, termasuk talian kuasa, yang berpotensi menyebabkan terputus bekalan.

Saluran paip yang panjang juga boleh menjana arus elektrik, membawa kepada masalah kejuruteraan.

Pesawat dia angkasa lepas juga bersiko terdedah kepada dos radiasi yang tinggi, namun atmosfera boleh menyekatnya daripada sampai ke bumi.

Justeru, NASA menyelaras pasukan khas yang memantau keselamatan angkasawan dengan meminta mereka di Stesen Angkasa Antarabangsa untuk berpindah ke pos yang lebih terlindung.

Burung Merpati dan spesies haiwan lain yang mempunyai kompas biologi dalaman juga boleh terkesan di mana peminat sukan lumba merpati mencatatkan pengurangan burung yang pulang ketika ribut geomagnetik.

Pada Oktober 2003, ribut geomagnetik melampau menyebabkan bekalan elektrik terputus di Sweden dan kerosakkan pencawang kuasa di Afrika Selatan selain memberi kesan pada komunikasi radio frekuensi tinggi, GPS dan satelit.

Ribut geomagnetik paling kuat dalam sejarah yang direkodkan, dikenali sebagai Peristiwa Carrington, berlaku pada September 1859, dinamakan sempena ahli astronomi British, Richard Carrington.

Arus lebihan pada talian telegraf ketika itu menyebabkan renjatan elektrik kepada juruteknik, malah turut membakar beberapa peralatan telegraf. - AFP

Berita Harian X