Sabtu, 11 Mei 2024 | 8:24am
Penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan perhimpunan selepas polis meroboh perkhemahan mereka di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan perhimpunan selepas polis meroboh perkhemahan mereka di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Laporan AS kritik Israel, namun tidak sekat senjata

WASHINGTON: Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengatakan bahawa Israel mungkin melanggar norma undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) dalam penggunaan senjata dari negaranya.

Bagaimanapun, laporan berkenaan menyatakan ia tidak menemui bukti mencukupi untuk menyekat penghantaran atau pembekalan senjata.

Ia menyatakan adalah munasabah untuk menilai bahawa Israel, yang menerima kira-kira AS$3 bilion (RM23.6 bilion) setahun, menggunakan senjata itu secara tidak konsisten dengan piawaian hak kemanusiaan, namun AS tidak dapat mencapai 'penemuan muktamad'.

Laporan itu tertangguh selama beberapa hari berikutan perdebatan untuk menegur Israel yang juga antara sekutu utama AS.

Jabatan Negara AS akhirnya menyerahkan laporannya dua hari selepas Presiden AS, Joe Biden, secara terbuka mengancam untuk menahan penghantaran bom dan peluru artileri tertentu jika Israel meneruskan serangan ke atas bandar Rafah.

Biden, yang berdepan kemarahan daripada partinya beberapa bulan sebelum pilihan raya, mengeluarkan memorandum yang dikenali sebagai NSM-20 pada Februari lalu.

Memorandum itu meminta negara-negara yang menerima bantuan ketenteraan AS untuk membuat jaminan bahawa mereka mematuhi undang-undang hak asasi manusia.

Penerima lain bantuan ketenteraan AS yang diliputi oleh laporan itu ialah Colombia, Iraq, Kenya, Nigeria, Somalia dan Ukraine.

Menurut versi awam laporan berkenaan, keadaan konflik di Gaza menyukarkan usaha menilai atau mencapai penemuan konklusif mengenai kes tertentu.

"Namun, memandangkan Israel bergantung pada artikel pertahanan buatan AS, adalah munasabah untuk menilai bahawa artikel pertahanan di bawah NSM-20 yang digunakan oleh pasukan keselamatan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

"Ia didapati dilaksanakan dalam keadaan yang tidak konsisten dengan kewajipan IHLnya atau amalan terbaik yang ditetapkan untuk mengurangkan kemudaratan orang awam," katanya.

Laporan itu juga mengatakan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mempunyai pengetahuan, pengalaman dan alat untuk meminimumkan bahaya.

Namun, hasil di lapangan termasuk jumlah korban awam yang tinggi, menimbulkan persoalan besar sama ada IDF menggunakannya dengan berkesan dalam semua kes.

Laporan itu juga berkata, ia tidak menemui bukti bahawa Israel melanggar bantuan kemanusiaan yang menjadi satu lagi kebimbangan utama.

"AS tidak pada masa ini, menilai bahawa kerajaan Israel melarang atau sebaliknya menyekat pengangkutan atau penghantaran bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai risiko kebuluran di Semenanjung Gaza, di mana hampir keseluruhan penduduk yang dipindahkan kini kekurangan makanan, air atau bekalan kuasa yang konsisten. - AFP

Berita Harian X