Sabtu, 11 Mei 2024 | 7:30am

PBB lulus resolusi UNSC pertimbang keanggotaan penuh Palestin

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.

Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.

UNSC mengundi secara majoriti untuk memberikan Palestin beberapa hak tambahan dalam badan global itu, selepas usaha mereka untuk menjadi ahli penuh disekat oleh Amerika Syarikat (AS).

Deraf resolusi itu, yang diperkenalkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyatakan 'Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli'.

Terdahulu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata apa yang dimahukan mereka hanya untuk melihat hak mereka ditegakkan dan undang-undang antarabangsa terpakai untuk mereka.

"Ketika kempen untuk mengusir dan membinasakan rakyat Palestin mencapai tahap paling tinggi, anda boleh membuat keputusan untuk berpegang teguh pada hak sesebuah negara.

"Hak untuk hidup dalam kebebasan dan bermaruah di atas tanah sendiri, untuk berdiri dengan aman, yang memerlukan pengiktirafan hak, bukan penafian berterusan.

"Tanpa ragu-ragu, harinya akan tiba di mana Palestin akan mengambil tempat yang sepatutnya dalam kalangan negara-negara bebas," katanya.

Walaupun Perhimpunan Agung tidak boleh memberi keahlian penuh PBB, resolusi itu akan memberi Palestin beberapa hak dan keistimewaan tambahan mulai September 2024,

Antara lain, Palestin diberi kerusi dalam kalangan anggota PBB di dewan perhimpunan, namun ia tidak akan diberi hak mengundi.

Teks itu secara jelas menolak membenarkan rakyat Palestin dipilih untuk menganggotai UNSC atau mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Namun, ia membenarkan mereka mengemukakan cadangan dan pindaan secara langsung, tanpa perlu melalui negara lain, seperti yang berlaku sekarang.

Ia juga memberi mereka hak untuk duduk dalam kalangan negara anggota mengikut susunan abjad.

Dengan perang di Gaza yang memuncak, rakyat Palestin pada April melancarkan semula permintaan sejak 2011 untuk menjadi ahli penuh PBB, di mana status mereka sekarang ialah 'negara pemerhati bukan ahli'.

Untuk berjaya, inisiatif itu memerlukan lampu hijau UNSC dan kemudian undi majoriti dua pertiga dalam UNGA.

Bagaimanapun, AS, salah satu daripada lima ahli yang memegang kuasa veto di UNSC dan sekutu terdekat Israel, menyekatnya pada 18 April. - AFP

Sesi pengundian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai deraf resolusi yang akan mengiktiraf Palestin sebagai layak menjadi ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Sesi pengundian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai deraf resolusi yang akan mengiktiraf Palestin sebagai layak menjadi ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Berita Harian X