Jumaat, 10 Mei 2024 | 9:24am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

AS khuatir virus selesema burung bermutasi, jangkit manusia

CHICAGO: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mendedahkan data secara dalam talian mengenai influenza A yang ditemui dalam sisa air kumbahan.

Data itu dipercayai mampu memberikan petunjuk baharu mengenai wabak selesema burung (H5N1) yang ditemui dalam ladang lembu dan menjangkiti hingga 42 kumpulan ternakan berkenaan.

Ketua pasukan sisa air kumbahan CDC, Amy Kirby, berkata agensi itu sudah mengenal pasti punca tersebarnya influenza A, dan sub jangkitan H5N1 di beberapa tapak dan sedang menyiasat sumbernya.

Beliau berkata, sehingga kini tiada tanda jangkitan H5N1 pada manusia kecuali seorang pekerja ladang tenusu, sekali gus menimbulkan kekhuatiran mengenai keupayaan virus itu bermutasi.

CDC sudah mengumpul data influenza dalam air kumbahan membabitkan kira-kira 600 tapak sejak musim luruh lalu untuk mengesan jangkitan itu dengan lebih baik.

"Data itu boleh membantu dalam menjejaki wabak H5N1 yang menjangkiti 42 kumpulan ternakan di sembilan negeri di AS dan seorang pekerja ladang tenusu," katanya kepada Reuters.

Pada masa sama, Kirby berkata saintis sedang mengkaji dengan teliti perubahan terhadap virus itu, yang boleh merebak dengan mudah dalam kalangan manusia.

Katanya, ujian sisa air kumbahan mampu mengesan pelbagai jenis influenza A, termasuk H5N1, tetapi penemuan itu tidak menunjukkan sumber virus, sama ada ia datang daripada burung, lembu, susu, ladang atau manusia.

"Paparan data melalui papan pemuka awam itu akan membolehkan individu menyemak peningkatan influenza A di kawasan mereka dan membandingkannya dengan data terdahulu.

"Kes influenza bermusim menurun dengan mendadak, maka sebarang lonjakan boleh memberi isyarat mengenai kes selesema yang luar biasa," katanya.

Kirby berkata, sehingga kini, ujian sudah mengenal pasti beberapa peningkatan kehadiran selesema dalam sampel yang hanya terhad pada segelintir tapak sahaja.

Katanya, lebih mengejutkan adalah wabak dalam kalangan lembu dan kehadiran virus dalam susu, kadang-kala memasuki ke dalam sisa air kumbahan.

"Kita sedang berusaha untuk mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada penemuan virus dalam sisa air," katanya.

Sebelum ini, ujian mendapati bahawa satu daripada lima sampel susu komersial AS mengandungi saki-baki virus H5N1, sekaligus menunjukkan wabak itu mungkin lebih meluas daripada hanya dalam kalangan kumpulan ternakan. - REUTERS

Berita Harian X