Khamis, 9 Mei 2024 | 7:54am
Presiden AS, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden AS, Joe Biden. - Foto AFP

Presiden AS beri amaran kepada Israel

WASHINGTON: Presiden Joe Biden secara terbuka memberi amaran kepada Israel yang beliau akan menghentikan bekalan peluru artileri dan senjata lain jika mereka menyerang Rafah di selatan Gaza.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu kesal dengan hakikat orang awam terbunuh akibat bom yang digugurkan dari negaranya.

"Jika mereka pergi ke Rafah, saya tidak akan membekalkan senjata yang digunakan...untuk menyerang bandar-bandar.

"Kami tidak akan membekalkan senjata dan peluru artileri yang digunakan," kata Biden dalam wawancara dengan stesen televisyen CNN.

Ancaman untuk menghentikan bekalan artileri itu dibuat selepas AS semalam mengesahkan yang ia sudah menghentikan penghantaran bom besar berikutan kebimbangan mengenai serangan yang dirancang Israel ke atas Rafah, di mana lebih sejuta orang awam Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang sedang berlindung berhampiran sempadan Mesir.

"Orang awam terbunuh di Gaza akibat bom itu dan cara lain, di mana mereka (Israel) pergi ke pusat penduduk," kata Biden.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk ke Rafah sebagai sebahagian daripada kempen menghapuskan Hamas selepas serangan ke atas Israel pada 7 Oktober.

Israel sebelum ini menentang bantahan AS dan antarabangsa serta menghantar kereta kebal ke Rafah, yang pada awal Selasa merampas sempadan penting dengan Mesir itu.

Ditanya mengenai tindakan Israel yang sudah berada di Rafah, Biden berkata, "mereka belum pergi ke pusat penduduk."

"Apa yang mereka lakukan adalah berada tepat di sempadan dan ia menyebabkan masalah.Sekarang, dari segi Mesir, yang mana saya sudah bekerja keras untuk memastikan kami mempunyai hubungan serta bantuan," katanya.

Biden berjanji Washington akan `terus memastikan Israel selamat dari segi Iron Dome dan keupayaan mereka untuk bertindak balas terhadap serangan'.

Beliau bagaimanapun sudah `menyatakan dengan jelas kepada Netanyahu dan kabinet perang, mereka tidak akan mendapat sokongan kami jika sebenarnya mereka pergi ke pusat-pusat penduduk ini'.

- AFP

Berita Harian X