Rabu, 8 Mei 2024 | 12:58pm
Kelihatan kepulan asap susulan serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza pada 7 Mei 2024. - Foto AFP
Kelihatan kepulan asap susulan serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza pada 7 Mei 2024. - Foto AFP

AS henti hantar bom ke Israel susulan 'kebimbangan' pencerobohan Rafah

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menghentikan penghantaran bom ke Israel minggu lalu selepas ia gagal menangani kebimbangan berhubung rancangan Israel menyerang Rafah di selatan Gaza, kata seorang pegawai kanan AS semalam.

"Kami sudah menghentikan satu penghantaran senjata minggu lalu membabitkan bom dengan berat 907 kilogram (kg) dan 226 kg.

"Kami belum membuat keputusan muktamad mengenai cara meneruskan penghantaran ini," kata pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden yang enggan namanya didedahkan.

Pentadbiran Biden membuat keputusan itu berikutan Israel dilihat berada di ambang operasi ketenteraan darat secara besar-besaran ke Rafah dengan langkah itu ditentang Washington.

Pegawai berkenaan turut memberitahu, Israel dan AS sudah membincangkan alternatif berhubung situasi itu dengan 'perbincangan dibuat secara berterusan, namun penyelesaian yang diharapkan masih belum dapat dicapai.'

"Ketika pemimpin Israel dilihat mendekati keputusan muktamad mengenai operasi itu, kami mula mengkaji dengan teliti cadangan pemindahan senjata tertentu kepada Israel yang mungkin digunakan di Rafah. Ia bermula pada April," katanya.

Pegawai AS itu berkata, Washington memberi tumpuan kepada penggunaan bom paling berat, 2,000 paun dan kesannya di kawasan bandar yang padat seperti yang dilihat di bahagian lain di Gaza.

Tambah pegawai itu, Jabatan Negara AS masih mengkaji pemindahan senjata lain termasuk penggunaan kit bom jitu yang dikenali sebagai JDAM.

Israel menghantar kereta kebal ke Rafah semalam dan mengambil alih kawalan lintasan sempadan dengan Mesir itu.

Bagaimanapun, menurut Rumah Putih, sebelum ini Israel berjanji operasi ketenteraan yang dilancarkannya adalah terhad.

Berita Harian X