Isnin, 6 Mei 2024 | 10:56am
Kawasan Roca Sales di Negeri Rio Grande do Sul rosak teruk akibat banjir semalam. - Foto AFP
Kawasan Roca Sales di Negeri Rio Grande do Sul rosak teruk akibat banjir semalam. - Foto AFP

Korban banjir Brazil meningkat kepada 78 mangsa, lebih 100 orang hilang

PORTO ALEGRE, BRAZIL: Pihak berkuasa di selatan Brazil bertungkus-lumus untuk menyelamatkan orang ramai daripada banjir dan tanah runtuh, bencana iklim terbesar di rantau itu.

Sekurang-kurangnya 78 maut dan 115,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Seluruh bandar itu ditenggelami air dengan beribu-ribu orang terjejas, susulan hujan lebat berlanjutan beberapa hari.

Di Porto Alegre, ibu negeri Rio Grande do Sul, penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung dan berharap diselamatkan segera, ketika mangsa yang lain menaiki sampan atau bot kecil mengharungi jalan yang kini menjadi sungai.

Menurut pakar klimatologi, keadaan itu berlaku disebabkan perubahan iklim dan kesan El Nino.

Lebih 3,000 askar, bomba dan anggota penyelamat lain cuba mengeluarkan penduduk yang kebanyakannya terperangkap tanpa bekalan asas seperti air dan elektrik.

Pegawai pertahanan awam berkata, sekurang-kurangnya 105 orang hilang, susulan fenomena cuaca buruk terbaru melanda gergasi Amerika Selatan itu.

"Ia kelihatan seperti babak filem perang dan selepas bencana ini berakhir, pendekatan seumpama pasca perang perlu diambil," kata gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite.

Dalam pada itu, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berjanji, kerajaan akan menyediakan semua sumber yang diperlukan untuk pembinaan semula bandar terjejas.

Selain Porto Alegre, 341 lagi bandar dan kampung turut dilanda banjir.

Anggota tentera membuka hospital di lapangan selepas beratus-ratus pesakit terpaksa dipindahkan daripada hospital biasa, manakala orang awam mewujudkan kumpulan sukarelawan untuk mengumpul bekalan asas, termasuk jaket keselamatan, air dan bahan api.

Menurut majlis perbandaran tempatan, Sungai Guaiba yang mengalir melalui bandar berpenduduk 1.4 juta orang itu mencapai paras tertinggi 5.3 meter (17.4 kaki), berbanding 4.76 meter yang direkodkan pada tragedi banjir terburuk pada 1941.

"Rio Grande do Sul sentiasa menjadi titik pertemuan antara udara panas tropika dan angin sejuk Kutub Selatan.

"Pertembungan udara ini ditingkatkan dengan perubahan iklim untuk mencipta 'bancuhan bencana' yang menjadikan suasana lebih tidak stabil dan menyebabkan ribut," kata pakar klimatologi, Francisco Eliseu Aquino. - AFP

Bandar Porto Alegre, Negeri Rio Grande do Sul dipenuhi limpahan sungai dan lumpur. - Foto REUTERS
Bandar Porto Alegre, Negeri Rio Grande do Sul dipenuhi limpahan sungai dan lumpur. - Foto REUTERS

Berita Harian X