Sabtu, 4 Mei 2024 | 9:14am
Trak yang terkandas di lintasan sempadan di Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza akibat sekatan Israel. - Foto REUTERS
Trak yang terkandas di lintasan sempadan di Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza akibat sekatan Israel. - Foto REUTERS

Ahli Demokrat serah bukti Israel sekat bantuan memasuki Gaza kepada Biden

WASHINGTON: Sebahagian besar wakil rakyat Parti Demokrat pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyerahkan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan Israel melanggar undang-undang AS dengan menyekat aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sepucuk surat kepada Biden yang ditandatangani oleh 86 anggota Demokrat Dewan Perwakilan berkata, tindakan Israel menyekat bantuan menimbulkan pertikaian sama ada regim Yahudi itu memenuhi janji untuk mematuhi peruntukan Akta Bantuan Asing AS.

Akta terbabit mewajibkan penerima pembiayaan ketenteraan dan senjata AS untuk mempertahankan dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta membenarkan aliran bebas bantuan AS.

Jaminan bertulis sedemikian telah pun diberi mandat menerusi memorandum keselamatan negara yang dikeluarkan Biden pada Februari lalu selepas penggubal undang-undang Demokrat mula mempersoalkan sama ada Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dalam operasinya di Gaza.

Mereka berkata, kerajaan Israel berulang kali menolak permintaan AS untuk membuka laluan laut dan darat yang mencukupi untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.

Mereka turut memetik laporan bebas mengatakan Israel gagal membenarkan kemasukan makanan yang mencukupi bagi mengelakkan kebuluran dan sebaliknya menguatkuasakan sekatan sewenang-wenangnya dan memperketatkan pemeriksaan bagi menghalang bekalan.

"Kami mengharapkan pentadbiran AS untuk memastikan (Israel) mematuhi undang-undang sedia ada dan mengambil semua langkah sewajarnya untuk mencegah malapetaka kemanusiaan selanjutnya di Gaza," tulis penggubal undang-undang itu.

Rakaman dron menunjukkan barisan trak bantuan menunggu di tepi jalan di Mesir, sepanjang sempadan dengan Israel, berhampiran sempadan Rafah. - Foto REUTERS
Rakaman dron menunjukkan barisan trak bantuan menunggu di tepi jalan di Mesir, sepanjang sempadan dengan Israel, berhampiran sempadan Rafah. - Foto REUTERS

Memorandum Biden memerlukan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, melaporkan kepada Kongres selewat-lewatnya pada Rabu ini sama ada jaminan Israel boleh dipercayai dan jika penggunaan senjata AS mematuhi undang-undang antarabangsa.

Sekurang-kurangnya empat biro Jabatan Negara AS menasihatkan Blinken bulan lalu bahawa mereka mendapati jaminan Israel 'tidak boleh dipercayai'.

Jika jaminan Israel dipersoalkan, Biden mempunyai pilihan untuk 'menangani' keadaan melalui tindakan bermula daripada mendapatkan jaminan baharu, kepada menggantung pemindahan senjata AS sehingga Israel akur, menurut memorandum itu.

Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Cindy McCain, berkata kini sudah bermula ancaman 'kebuluran besar' di utara Gaza.

Dalam petikan wawancara yang akan disiarkan pada hari Ahad di 'Meet the Press', McCain memberitahu NBC bahawa dia mengharapkan perjanjian gencatan senjata dipercepatkan supaya lebih banyak bantuan dapat disampaikan segera.

"Terdapat kebuluran serius di utara dan ia kini bergerak ke selatan. Jadi, apa yang kami minta ialah gencatan senjata dan kesungguhan untuk membenarkan akses tanpa halangan," katanya.

Pegawai AS berkata, walaupun kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengambil langkah bagi meningkatkan penghantaran bantuan, jumlah itu masih jauh daripada mencukupi.

Penggubal undang-undang menyatakan 'kebimbangan serius' terhadap tindakan Israel dalam perang di Gaza kerana 'sengaja menyekat bantuan kemanusiaan' dan menggunakannya sebagai 'senjata' perang.

Justeru, mereka menggesa Biden untuk menjelaskan kepada Netanyahu, 'selagi Israel mengehadkan, secara langsung atau tidak langsung, bantuan kepada Gaza, maka tidak akan ada lagi bantuan ketenteraan daripada AS. - REUTERS

Berita Harian X