Khamis, 2 Mei 2024 | 10:11am
Pegawai LAPD berkawal berhampiran perkhemahan pro-Palestin di Universiti California Los Angeles (UCLA), ketika konflik antara Israel dan Palestin berterusan. - Foto REUTERS
Pegawai LAPD berkawal berhampiran perkhemahan pro-Palestin di Universiti California Los Angeles (UCLA), ketika konflik antara Israel dan Palestin berterusan. - Foto REUTERS

Polis kerah lebih ramai anggota di kampus AS ketika protes memuncak

LOS ANGELES: Polis terpaksa mengerah lebih ramai anggota untuk ditempatkan di beberapa kampus universiti di Amerika Syarikat (AS) ketika demonstrasi pelajar menentang perang Israel dengan Palestin terus berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Puluhan kereta polis berkawal di Universiti California, kampus Los Angeles sebagai tindak balas kepada pertempuran ganas semalaman apabila penunjuk perasaan pro-Israel menyerang perkhemahan pro-Palestin.

Di Universiti Columbia di New York City, yang menjadi pusat demonstrasi, polis bersiap sedia selepas pegawai berarak ke kampus kelmarin untuk menamatkan protes di sana.

Kehadiran pihak polis di dua universiti paling berprestij di AS itu membuatkan beberapa pelajar kecewa.

Sebahagian pelajar menentang perang Israel dengan Palestin. - Foro Reuters
Sebahagian pelajar menentang perang Israel dengan Palestin. - Foro Reuters

"Saya tidak fikir kita harus mempunyai pasukan polis yang ramai di kampus," kata pelajar UCLA Mark Torre, 22.

"Tetapi hari demi hari, saya fikir ia adalah satu kejahatan yang perlu, sekurang-kurangnya menjaga keselamatan di kampus."

Di Columbia dan di City University of New York (CUNY), di mana polis menghalau penunjuk perasaan, beberapa pelajar mengecam taktik "kasar dan agresif" yang digunakan oleh pegawai berkenaan.

"Kami diserang, ditahan dengan kejam dan saya ditahan sehingga enam jam sebelum dibebaskan, cukup teruk, dipijak serta mengalami luka," kata seorang pelajar CUNY yang hanya mahu dikenali sebagai Jose.

Seorang pelajar perubatan yang menawarkan rawatan kepada tahanan pelajar ketika mereka dibebaskan menggambarkan kebanyakan mereka mengalami pelbagai kecederaan.

"Kami melihat terdapat individu yang mengalami kecederaan kepala termasuk gegaran otak, kata pelajar itu, yang memberikan namanya sebagai Isabel.

Kira-kira 300 penahanan dibuat di Columbia dan CUNY, kata Pesuruhjaya Polis Edward Caban pada sidang media semalam.

Sebahagian penunjuk perasaan menentang perang Israel di University of California. - Foto Reuters
Sebahagian penunjuk perasaan menentang perang Israel di University of California. - Foto Reuters

Datuk Bandar Eric Adams menyalahkan orang luar kerana mencetuskan ketegangan.

Pelajar di Columbia menafikan orang luar terbabit.

Presiden universiti itu Minouche Shafik, yang mendapat kecaman atas keputusannya menghubungi polis, berkata kejadian itu begitu menyedihkan.

"Saya minta maaf kami sampai ke tahap ini," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X